Skip to main content

Sukan

Mirabel pintas Liyana, muncul pemain terbaik Malaysia

Mirabel mengumpul catatan keseluruhan empat bawah par 212 menerusi keputusan 75-68-69 selepas tiga pusingan. --fotoBERNAMA
Mirabel mengumpul catatan keseluruhan empat bawah par 212 menerusi keputusan 75-68-69 selepas tiga pusingan. --fotoBERNAMA

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mirabel Ting memintas rakan senegara Liyana Durisic untuk muncul sebagai pemain Malaysia dengan kedudukan terbaik selepas mencatat tiga bawah par 69 pada pusingan ketiga Kejohanan Golf Maybank 2026 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, di sini semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu mempamerkan peningkatan prestasi dengan melakukan tujuh birdie di lubang ketiga, kelima, keenam, ketujuh, ke-10, ke-11 dan ke-14, meskipun turut mencatat empat bogey, sekali gus melonjak ke kedudukan ke-44 daripada 76 pemain.

Mirabel mengumpul catatan keseluruhan empat bawah par 212 menerusi keputusan 75-68-69 selepas tiga pusingan, sekali gus ketinggalan 14 pukulan di belakang pendahulu yang juga juara bertahan dari Jepun, Miyu Yamashita, dengan catatan 18 bawah par 198.

Advertisement

Meskipun berpuas hati dengan peningkatan prestasinya, Mirabel mengakui beberapa kesilapan ketika melakukan pukulan putt menyebabkan beliau terlepas peluang mencatat keputusan lebih baik.

Mengulas mengenai persiapannya menjelang pusingan terakhir hari ini, Mirabel berkata beliau akan terus bersabar dan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan ketepatan pukulan dari tee, selain mengekalkan prestasi baik ketika melakukan pukulan menggunakan kayu besi.

Advertisement

Sementara itu, Liyana yang muncul sebagai pemain Malaysia dengan kedudukan terbaik selepas dua pusingan awal, bergelut untuk mengekalkan rentak permainan apabila mencatat empat atas par 76 pada pusingan ketiga.

Keputusan itu menyaksikan beliau mengumpul catatan keseluruhan par 216 menerusi keputusan 67-73-76, sekali gus merosot ke kedudukan ke-61.

Liyana mengakui berdepan kesukaran mendapatkan rentak permainan terbaik selepas melakukan beberapa kesilapan, terutama pada awal saingan.

"Hari ini agak mencabar. Saya tidak memulakan permainan dengan baik dan melakukan lebih banyak kesilapan daripada yang sepatutnya. Beberapa pukulan juga menyebabkan saya sedikit hilang rentak," katanya selepas menamatkan pusingan ketiga.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Natasha Oon, menamatkan pusingan ketiga dengan catatan dua bawah par 70 untuk mengumpul keseluruhan satu bawah par 215 menerusi keputusan 74-71-70, sekali gus menduduki tempat ke-59.

Kelly Tan pula berkongsi kedudukan ke-73 selepas mencatat dua atas par 74 semalam, menjadikan jumlah keseluruhannya empat atas par 220 menerusi keputusan 76-70-74.

Seorang lagi pemain Malaysia, Genevieve Ling, menduduki tempat ke-75 selepas mencatat tiga atas par 75 pada pusingan ketiga untuk mengumpul keseluruhan sembilan atas par 225 menerusi keputusan 74-76-75.

Edisi keempat kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD3 juta (RM12.17 juta).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement