BINTANG Inter Miami, Lionel Messi, dikenakan denda oleh Major League Soccer (MLS) selepas melanggar polisi liga berkaitan tindakan menggunakan tangan ke arah muka, kepala atau leher pemain lawan.
Insiden berlaku pada minit ke-101 ketika Inter Miami seri 2-2 dengan Philadelphia Union Rabu lalu.
Messi bukan satu-satunya pemain Inter Miami yang dikenakan tindakan apabila pertahanan Ian Fray turut didenda atas kesalahan sama.
Ketegangan tercetus pada penghujung perlawanan sehingga menyaksikan Yannick Bright dari Inter Miami dan Cavan Sullivan dari Philadelphia dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun, Sullivan terlepas daripada penggantungan selepas kad merahnya dibatalkan menerusi proses rayuan. Panel Semakan Bebas MLS sebulat suara memutuskan insiden tersebut tidak wajar membawa kepada penggantungan.
Sullivan kini boleh beraksi ketika Philadelphia menentang Austin FC.
MLS bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah denda dikenakan terhadap Messi dan Fray. -- Stadium Astro