KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara Hakim Danish Ramli berjaya mengutip tiga mata selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di kedudukan ke-13 di Litar Jerez, hari ini.
Bermula dari petak ke-10, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu cuba mencabar kelompok hadapan, sekali gus melengkapkan perlumbaan 19 pusingan di litar sepanjang 4.42 kilometer dengan ketinggalan 12.584 saat (s) di belakang juara Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar.
Advertisement
Quiles mencatat masa 33 minit 23.55 saat, meninggalkan pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez, yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan perbezaan masa 1.991s.
Sementara itu, pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Munoz, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 2.009s di belakang pemenang.
Keputusan itu menyaksikan Quiles terus mengungguli carta kejuaraan dengan 90 mata, diikuti pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe (53 mata), Fernandez (49 mata), manakala Hakim Danish mengumpul 12 mata untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 27 pelumba.
-- BERNAMA