Skip to main content

Sukan

Nora Lyana rangkul kejuaraan kategori wanita Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand

FB Bowling Malaysia
Nora Lyana berharap dapat meneruskan momentum sepanjang tahun dan menampilkan prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Asia 2026 pada November di Doha, Qatar. - Foto Facebook Bowling Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain boling wanita negara Nora Lyana Nastasia Norkamal berjaya merangkul kejuaraan dalam kategori wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2026 semalam.

Dalam aksi final stepladder yang mendebarkan di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Bangkok, Nora Lyana menundukkan pemain Singapura New Hui Fen dengan 474 jatuhan pin bagi dua permainan.

Advertisement

Hui Fen hanya mencatatkan 353 jatuhan pin.

“Saya amat bersyukur kerana dapat meraih gelaran ini buat kali ketiga... ia begitu bermakna, lebih-lebih lagi kerana memberikan suntikan semangat menjelang Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) tahun ini.

“Keupayaan mengharungi keadaan lorong yang mencabar dan mara hingga ke penghujung benar-benar saya rasa bagaikan satu rahmat,” katanya ketika dihubungi.

Nora Lyana juga berharap dapat meneruskan momentum ini sepanjang tahun dan menampilkan prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Asia 2026 pada November di Doha, Qatar.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video