Skip to main content

Sukan

Para SUKMA: Lima emas para olahraga lonjak Sabah ke puncak

SHAH ALAM, 6 Sept - Atlet para olahraga Sabah Muhamad Shaban Shahid beraksi pada acara akhir 100 meter lelaki T45 pada Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium UiTM hari ini. Muhamad Shaban muncul Juara selepas meraih pingat Emas dengan catatan masa 13.210 saat. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Foto BERNAMA
Advertisement

SHAH ALAM: Kontinjen Sabah membuka tirai kutipan pingat Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 dengan bergaya apabila mengungguli carta pungutan pingat pada hari kedua menerusi koleksi enam emas, enam perak dan lima gangsa setakat 10 malam tadi.

Lima daripada enam emas Sabah diraih dalam para olahraga, manakala satu lagi disumbangkan Mohd Nazizul Hamzah yang muncul juara perseorangan lelaki Kelas 6-7 para ping pong.

Di arena olahraga, Eljoe Gotuoh mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik emas dalam acara lompat jauh T20 lelaki selepas melakukan lompatan sejauh 7.06 meter (m).

Muhamad Shaban Shahid Shaban Shah pula mencipta kenangan manis pada penampilan sulungnya di Para SUKMA dengan menjuarai 100m T45 lelaki menerusi catatan 13.210 saat (s).

Turut menyumbang emas ialah Mohamad Syahzwan William yang mengungguli lontar peluru F20 lelaki dengan catatan 14.44m, manakala Mohamad Faqrul Nizam menjuarai lontar peluru F33 lelaki selepas melakukan lontaran sejauh 6.01m.

Charmian Sikajat pula bukan sahaja menghadiahkan emas buat Sabah dalam lontar peluru F20 wanita, malah mencipta rekod kejohanan menerusi catatan 11.50m.

Sementara itu, Terengganu membuka akaun emas dalam para powerlifting menerusi Muhammad Shazmin Syamsuar yang mengungguli kategori lelaki bawah 59 kilogram (kg).

Beliau menyempurnakan ketiga-tiga angkatan masing-masing seberat 120kg, 130kg dan 136kg untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas.

Rafli Suhaili dari Wilayah Persekutuan Labuan meraih perak dengan angkatan 110kg, manakala Muhammad Bukhari Md Zan dari Johor membawa pulang gangsa menerusi 101kg.

Dalam badminton, Selangor mencatat tiga kemenangan menerusi Ahmad Najmi Aminudin dalam perseorangan lelaki SH6 dan Muhammad Faiz Asri bagi perseorangan lelaki SL3, selain gandingan Muhammad Huzairi dan Yashaiful Yayah yang mengungguli beregu lelaki SL3-SU5.

Namun, perjalanan hari pertama beberapa acara terjejas akibat jerebu apabila saingan para olahraga, para renang, para memanah dan boling padang terpaksa ditangguhkan.

Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Shah Alam dan Klang mencecah 169 setakat 12 tengah hari, menyebabkan Jawatankuasa Pengelola mengambil keputusan menangguhkan saingan selepas menerima nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan jawatankuasa teknikal khas.

Saingan hari ketiga hari ini (Isnin) dijangka terus rancak dengan para olahraga, para renang dan para powerlifting menjadi antara tumpuan utama perebutan pingat, selain aksi para badminton, para memanah, para ping pong dan boling padang yang turut diteruskan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement