GEORGE TOWN: Selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA, Penang FC kembali mengalihkan tumpuan pada aksi menentang Kelantan Red Warriors FC, Sabtu ini.
Ketua Jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail berkata Harimau Kumbang perlu fokus dalam usaha memburu kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini, sebelum beralih kepada persiapan menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan suku akhir Piala FA.
“Kami tahu JDT satu pasukan yang utuh dan hebat, tetapi kami tidak akan memberikan laluan mudah. Kami akan memberikan saingan seperti tahun lepas.
“Namun, bagi saya perlawanan seterusnya lagi penting kerana dalam liga kami masih belum mendapat kemenangan dan menjaringkan gol. Jadi, perlawanan pada Sabtu ini menjadi keutamaan berbanding suku akhir Piala FA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penang FC menewaskan Melaka FC 2-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Bandaraya di sini pada Rabu, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-1.
Pengendali berusia 50 tahun itu berkata meskipun mencatat kemenangan, beliau tidak berpuas hati apabila jentera serangan gagal berfungsi dengan baik, terutama pada 40 minit pertama.
Beliau berkata situasi itu digunakan sebaiknya oleh pasukan lawan dengan melakukan asakan sebelum perubahan selepas rehat di bahagian serangan berjaya memberikan impak kepada corak permainan Penang FC.
“Selepas pertukaran dibuat, pasukan mula berkembang dengan melakukan serangan dari kiri dan kanan, hantaran lintang serta percubaan ke arah gol. Barulah kita nampak variasi serangan yang berjaya menghasilkan dua jaringan untuk mengatasi Melaka FC,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata pasukannya berjaya mengawal permainan dengan baik pada babak pertama, terutama selepas mendahului, namun situasi berubah setelah Penang FC memperoleh gol penyamaan.
Beliau berkata tekanan yang diberikan oleh tuan rumah pada babak kedua menyukarkan Melaka FC mengekalkan rentak permainan sebelum Penang FC berjaya menjaringkan gol kemenangan.
“Selepas tersingkir daripada Piala FA, kami perlu mengalihkan fokus kepada saingan liga kerana beberapa perlawanan awal ini sangat mencabar dan penting untuk kami,” katanya.
-- BERNAMA