LONDON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) digesa agar menarik balik rancangan kontroversi untuk menjual kepentingan dalam sebuah syarikat Piala Dunia baharu oleh Persatuan Liga Dunia (WLA) yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters, lapor PA Media/dpa.
FIFA sedang mendapatkan kelulusan daripada persatuan kebangsaan untuk menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE), dengan menjanjikan peningkatan besar dalam dana pembangunan sekiranya rancangan itu mendapat lampu hijau.
Sekumpulan pelabur swasta, yang secara kolektif akan memiliki kira-kira 20 peratus pegangan dalam FFE, dijadualkan diterajui oleh Thrive Eternal, sebuah syarikat yang diasaskan oleh Joshua Kushner, iaitu adik kepada menantu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump Jared Kushner.
FIFA menegaskan bahawa FFE akan menyelia penjualan hak komersial dan penyampaian operasi kejohanannya, namun pelabur tidak akan mempunyai suara dalam menentukan perkara seperti saiz dan kekerapan kejohanan besar seperti Piala Dunia lelaki dan wanita serta Piala Dunia Kelab.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan besar bahawa keinginan semula jadi pelabur untuk memaksimumkan pulangan – serta keperluan untuk memenuhi peningkatan dana yang dijanjikan kepada persatuan kebangsaan – akan membawa kepada perkembangan pertandingan yang tidak dapat dielakkan, sekali gus memberi impak kepada kalendar bola sepak domestik dan antarabangsa sedia ada.
Persatuan Liga Dunia mengeluarkan kenyataan tegas membantah rancangan FIFA itu pada pagi Khamis.
“Tanpa sebarang rundingan, FIFA mengumumkan awal minggu ini satu projek untuk menubuhkan anak syarikat komersial bagi mengendalikan kejohanan anjurannya dan menjual kepentingan ekuiti kepada pelabur swasta,” menurut kenyataan itu.
“Nilai Piala Dunia FIFA dan bola sepak pasukan kebangsaan secara lebih umum, adalah hasil usaha kolektif di seluruh piramid bola sepak. Bola sepak pasukan kebangsaan dibina atas asas pelepasan pemain oleh kelab mereka.
“Walaupun kira-kira satu peratus daripada pemain profesional dunia mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA, baki 130,000 pemain bola sepak profesional dan semua kelab mereka berhenti bertanding apabila kejohanan liga kebangsaan dihentikan.
“Oleh itu, tanggungjawab FIFA menjangkaui kejayaan komersial kejohanannya sendiri. Sebagai badan pentadbir global bola sepak, FIFA mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keseimbangan antara pertandingan peringkat kebangsaan, benua dan dunia serta mempertimbangkan kepentingan permainan secara global.
“Projek FIFA Forward Enterprise ini lebih ketara mengetengahkan konflik kepentingan antara peranan FIFA sebagai pengawal selia bola sepak dunia dan sebagai penganjur komersial kejohanan antarabangsa utama.
“Persatuan Liga Dunia meminta FIFA menarik balik projeknya dan menegaskan semula keperluan untuk perubahan asas dalam proses membuat keputusan FIFA, bagi memastikan keputusan yang menjejaskan seluruh piramid bola sepak diambil melalui proses yang telus dan inklusif yang melibatkan semua pihak berkepentingan yang menyumbang kepada sukan ini.”
Kenyataan WLA itu disahkan oleh lembaga pengarahnya yang merangkumi 12 liga dari seluruh dunia – termasuk “Lima Liga Utama” Eropah serta Major League Soccer dan Liga Pro Saudi.
--BERNAMA-PA MEDIA/dpa