JAKARTA: Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada aksi pembukaan Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.
Cheng Hoe berkata aksi yang berlangsung pada sebelah petang menuntut ketahanan fizikal tinggi, namun gembira melihat barisan pemainnya berjaya mengharungi cabaran itu dengan baik.
Beliau berkata skuad negara masih dalam proses membina persefahaman dan keserasian sebagai sebuah pasukan, selain mengakui terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki meskipun mencatat kemenangan meyakinkan.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain atas kemenangan pertama menentang Bangladesh. Kami tahu ia bukan perlawanan mudah. Ia aksi yang sukar kerana bermain pada pukul 4 petang.
“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya amat gembira dengan keputusan ini. Harap kami dapat mengekalkan momentum yang baik ini. Pada masa sama, kami masih dalam proses membina pasukan, menyatukan pemain untuk bermain sebagai satu pasukan dan membentuk persefahaman yang baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini hari ini.
Cheng Hoe turut berpuas hati dengan penguasaan bola dan corak serangan yang dipamerkan anak buahnya, namun melihat aspek transisi sebagai antara perkara yang masih perlu dipertingkatkan.
Jurulatih berusia 56 tahun itu mengakui pemain negara ada kalanya terlalu mudah kehilangan bola, tetapi secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan pasukan dalam memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.
“Ada beberapa aspek yang perlu kami perbaiki, terutama ketika transisi kerana kadangkala kami terlalu mudah kehilangan bola.
“Namun, saya sangat gembira dengan cara kami bermain, menguasai bola dan menjaringkan gol. Perlawanan pertama sentiasa sukar tetapi kami bermula dengan baik dan memperoleh keputusan yang bagus. Harap kami dapat mengekalkan momentum seperti ini,” katanya.
Malaysia meraih kemenangan 3-0 menerusi dua jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi serta satu gol daripada pemain yang membuat penampilan sulung, Bergson da Silva.
Harimau Malaya seterusnya berdepan tuan rumah Indonesia di sini Isnin ini sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.
-- BERNAMA./Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif