Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Brazil tersingkir, Neymar beri petunjuk tinggalkan skuad kebangsaan

Brazil's Neymar (10) walks off the field with teammates after the World Cup round of 16 soccer match between Brazil and Norway in East Rutherford, N.J., near New York, Sunday, July 5, 2026. (AP Photo/Seth Wenig)
Neymar (10) dari Brazil meninggalkan padang bersama rakan sepasukan selepas perlawanan pusingan 16 Piala Dunia antara Brazil dan Norway di East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York. - Foto AP
Advertisement

EAST RUTHERFORD: Bintang Brazil, Neymar, memberi bayangan bahawa beliau mungkin telah mengharungi perlawanan terakhir bersama skuad kebangsaan selepas kekalahan mengejut 2-1 kepada Norway dalam pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026.

Penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan, namun gagal menghalang Brazil daripada tersingkir di tangan Norway yang mara ke suku akhir hasil dua gol oleh Erling Haaland.

Kekalahan itu sekali gus melanjutkan penantian Brazil untuk merangkul gelaran Piala Dunia keenam dan merupakan pencapaian terburuk pasukan itu dalam kejohanan berkenaan sejak edisi 1990.

Bercakap ringkas selepas perlawanan dengan penganalisis saluran ge tv, Bruno Formiga, Neymar seolah-olah mengesahkan bahawa perjalanan karier antarabangsanya sudah berakhir.

“Saya sudah mencuba, saya sudah mencuba... Kini ia sudah berakhir. Saya bermula di sini, saya juga mengakhirinya di sini,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada stadium di New Jersey yang turut menjadi lokasi beliau membuat penampilan sulung bersama Brazil dalam perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 2010.

Neymar dilihat tidak dapat menahan sebak selepas tamat perlawanan ketika pemain-pemain Brazil bergelut menerima hakikat tersingkir lebih awal daripada kejohanan.

Jika Neymar mengesahkan persaraan di peringkat antarabangsa, beliau akan menamatkan karier bersama Brazil dengan rekod 80 gol dan 58 bantuan jaringan dalam 130 penampilan.

Sepanjang kariernya, Neymar memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab, namun satu-satunya trofi utama yang diraih bersama skuad senior Brazil ialah Piala Konfederasi FIFA 2013.

Brazil kini berdepan tempoh kemarau kejuaraan Piala Dunia yang semakin panjang. Menjelang edisi 2030, negara itu akan mencatat 28 tahun tanpa menjulang trofi sejak kali terakhir muncul juara pada 2002.

Masa depan Neymar bersama skuad kebangsaan kini menjadi tanda tanya, namun kenyataan emosinya selepas kekalahan kepada Norway memberi petunjuk bahawa tirai karier antarabangsanya mungkin sudah hampir ditutup.

 

Must Watch Video

Advertisement