Skip to main content

Sukan

Piala Thomas: Malaysia, Jepun main "perang saraf" menjelang penentuan Kumpulan B

HORSENS (Denmark), 25 April -- Aksi Beregu Lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang Oliver Butler dan Samuel Jones dari England pada aksi Kumpulan B, Piala Thomas dan Uber di Forum Horsens, hari ini. Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menang 21-19, 21-13. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aksi Beregu Lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang Oliver Butler dan Samuel Jones dari England pada aksi Kumpulan B, Piala Thomas dan Uber di Forum Horsens. - Foto BERNAMA

HORSENS: Malaysia dan Jepun, kedua-duanya dilihat seolah-olah terlibat dalam “perang psikologi” menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B Final Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, di sini esok.

Dengan kedua-dua pasukan telah pun mengesahkan tempat ke suku akhir, perlawanan penting tersebut bakal menentukan siapa yang akan muncul sebagai juara kumpulan, sekali gus membawa momentum ke pusingan kalah mati.

Advertisement

Beregu lelaki nombor satu negara, Soh Wooi Yik percaya walaupun kehilangan pemain beregu utamanya, Yugo Kobayashi, Jepun masih memiliki kelebihan, khususnya dari segi semangat juang yang menjadi kekuatan utama mereka.

“Saya rasa Jepun memiliki standard tersendiri dan kelebihan mereka ialah semangat juang. Mereka sangat kuat dan sangat percaya kepada diri sendiri,” katanya kepada Bernama.

Rekod terkini kejohanan berprestij itu menunjukkan Jepun, yang merupakan juara 2014, bergelut dalam menentang Malaysia, termasuk mengalami kekalahan berturut-turut kepada juara lima kali itu di Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.

Bagaimanapun di atas kertas, Jepun kali ini kelihatan lebih kuat terutama dalam perseorangan dengan menampilkan pemain nombor 9 dunia, Kodai Naraoka, Koki Watanabe (20 ) dan Yudai Okimoto (37).

Sebaliknya, Malaysia dilihat kurang menyerlah dalam perseorangan, dengan pemain nombor 25 dunia Leong Jun Hao mengetuai cabaran bersama Justin Hoh (44), Aidil Sholeh Ali Sadikin (51) serta pemain profesional Lee Zii Jia (82).

Dalam pada itu, Malaysia memiliki kelebihan lebih ketara dalam acara beregu, diterajui juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan nombor 6 dunia Man Wei Chong–Tee Kai Wun, serta gandingan profesional Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (7).

Jepun pula baru-baru ini menerima tamparan hebat dengan penarikan diri saat akhir Kobayashi akibat kecederaan, faktor yang mungkin menjejaskan kempen mereka sepanjang kejohanan.

Tempat Kobayashi kemudian digantikan oleh Hiroki Midorikawa.

Pemain beregu Jepun lain termasuk pasangan Kobayashi, Takuro Hoki serta gandingan nombor 24 dunia, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dan Takumi Nomura-Yuichi Shimogami (30).

Sementraa itu, pemain perseorangan nombor 19 dunia, Yushi Tanaka berkata Malaysia bukan lawan yang mudah kerana mereka memiliki keupayaan untuk memberi cabaran sepanjang perlawanan.

“Malaysia adalah pasukan yang kuat, pasukan yang baik, dan kami perlu berusaha sedaya upaya. Dengan cara itu sahaja mungkin baru kami mempunyai peluang. Jadi kami akan buat apa sahaja untuk menang,” katanya.

Meskipun mengakui ketiadaan Kobayashi sebagai satu pukulan, Kumagai berkata ia juga merupakan peluang terbaik buat skuad sedia ada untuk membuktikan kekuatan pasukan mereka.

“Walaupun tanpa beliau (Kobayashi), kami masih boleh menunjukkan kemampuan kami… kami mahu menang,” katanya.

Malaysia membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England pada Sabtu lepas, diikuti kemenangan 4-1 ke atas Finland semalam.

Jepun pula membelasah kedua-dua England dan Finland dengan keputusan sama, 5-0.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video