Skip to main content

Sukan

Piala Uber: Malaysia akan lawan Jepun habis-habisan - Letshanaa

#UberCup2026 | Group B (WS1)  #MAS 🇲🇾 1-0 #ZAF 🇿🇦  K. Letshanaa def. Johanita Scholtz 21-6, 21-10  ⏱️ 22 mins  Letshanaa secures the first point for Malaysia with a straight-games win 💥
Letshanaa berkata pasukan berada dalam momentum positif dan bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada Jepun. - Foto BAM

HORSENS: Malaysia mungkin tidak diletakkan sebagai pilihan apabila berdepan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Uber 2026 di Forum Horsens, hari ini (Isnin, 27 Apr), namun skuad negara menegaskan mereka tidak akan turun sekadar melengkapkan jadual.

Pemain perseorangan utama negara, K. Letshanaa berkata pasukan berada dalam momentum positif dan bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada juara enam kali itu.

Advertisement

“Yang pasti, kami akan berjuang habis-habisan di gelanggang. Menang atau kalah itu keputusan kedua.

“Kami menang sebagai pasukan, kalah juga sebagai pasukan. Setiap pemain yang turun akan memberi 100 peratus. Kami tidak akan biarkan mereka anggap kami lawan mudah,” katanya kepada Bernama selepas skuad negara membenam Afrika Selatan 5-0 dalam aksi kedua kumpulan di sini, semalam.

Pemain ranking ke-34 dunia itu sebelum itu membantu Malaysia membuka langkah cemerlang apabila mudah menewaskan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz (ranking ke-160 dunia) 21-6, 21-10 dalam tempoh 22 minit.

Dalam pada itu, Letshanaa berkata kejayaan Malaysia mara ke suku akhir selepas 16 tahun turut menyuntik keyakinan baharu dalam kem negara.

Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Turkiye sebelum melengkapkan kemenangan besar 5-0 ke atas Afrika Selatan sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, pemain beregu wanita debut negara Chong Jie Yu menyifatkan peluang beraksi di Piala Uber sebagai pengalaman berharga selepas dipanggil saat akhir ke dalam skuad.

Jie Yu menggantikan pemain nombor satu negara Pearly Tan yang menarik diri akibat kecederaan belakang berulang.

Pemain berusia 20 tahun itu turut melengkapkan kemenangan sempurna Malaysia apabila bergandingan dengan Low Zi Yu menewaskan pasangan Afrika Selatan, Elme De Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5 dalam tempoh 21 minit.

Zi Yu pula berkata sekiranya diturunkan menentang Jepun hari ini, beliau akan beraksi dengan pendekatan sederhana dan fokus langkah demi langkah.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video