Skip to main content

Sukan

Prestasi di Jakarta suntik keyakinan Harimau Malaya hadapi China, Yaman

Skuad Harimau Malaya ketika ditemui di KLIA Terminal 1. - Foto BERNAMA
Skuad Harimau Malaya ketika ditemui di KLIA Terminal 1. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEPANG: Prestasi positif pada kejohanan Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta baru-baru ini menyuntik keyakinan buat skuad kebangsaan menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman pada 14 serta 17 Nov ini.

Pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, pencapaian itu menjadi motivasi untuk pasukan terus meningkatkan prestasi meskipun skuad kali ini dibarisi kumpulan pemain yang berbeza.

“Prestasi di Piala ASEAN hari itu menjadi motivasi untuk kami terus ke hadapan. Ini juga peluang untuk pemain lain dan saya sendiri membuktikan kualiti yang kami ada,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.

Advertisement

Pemain Terengganu FC itu berkata, pasukan akan berusaha mendapatkan mata dalam kedua-dua perlawanan yang disifatkan penting dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2030.

Sebagai rekod, China menghuni ranking ke-96 dunia, manakala Malaysia ditangga ke-133 dan Yaman ke-144.

Advertisement

Malaysia gagal mencatat kemenangan dalam lima pertemuan terakhir menentang China sejak 2004, dengan rekod tiga kekalahan dan dua seri, namun merekodkan tiga kemenangan ke atas Yaman.

Pertemuan terakhir Malaysia dan China pada 2023 dalam aksi persahabatan antarabangsa berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Sementara itu, mengulas kesiapsiagaan benteng pertahanan, Muhammad Ubaidullah berkata, tiada perbezaan ketara dalam kalangan pemain kerana kebanyakan mereka pernah menyertai kem kebangsaan sebelum ini.

“Keserasian sudah ada. Pemilihan pemain yang akan beraksi terpulang kepada jurulatih, dan saya percaya sesiapa yang diberi peluang akan memberikan 100 peratus,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Skuad kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga dengan rekod tanpa kalah selepas mencatatkan tiga kemenangan dan satu seri, selain menjaringkan 10 gol tanpa dibolosi.

Pada kejohanan yang julung kali dianjurkan itu, skuad negara menewaskan Bangladesh 3-0, seri tanpa jaringan dengan Indonesia, membelasah Singapura 6-0 dan meraih kemenangan 1-0 ke atas Vietnam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement