LISBON: Cristiano Ronaldo menuduh ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus memungkiri janji sebanyak dua kali berhubung perancangannya bersama skuad kebangsaan, sekali gus mendorong beliau meninggalkan kem latihan pasukan di Copenhagen minggu lalu.
Dalam satu kenyataan panjang yang dikeluarkan pada Selasa, penyerang berusia 41 tahun itu menjelaskan versinya mengenai pertikaian yang membawa kepada pemergiannya menjelang perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Denmark.
Menurut Ronaldo, beliau dan Jesus sebelum ini mencapai persetujuan bahawa beliau tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang Norway dan Denmark bagi mengurus tahap kecergasannya.
Namun pada hari perlawanan menentang Norway, jurulatih itu memaklumkan, beliau akan diberikan peluang beraksi selama 30 minit.
“Semua orang tahu apa yang berlaku selepas itu. Saya melakukan pemanasan badan sejak separuh masa, melihat masa berlalu tetapi tidak dipanggil masuk ke padang,” kata Ronaldo.
“Jurulatih telah mungkir janji kepada saya.”
Kapten serta penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal itu berkata, satu lagi perbincangan kemudian diadakan bersama Jesus dan Pengarah Sukan kelabnya, Al Nassr, Simao Coutinho.
Menurut Ronaldo, hasil pertemuan itu membawa kepada persetujuan bahawa Jesus akan menjelaskan situasi sebenar dalam sidang media berikutnya.
Beliau berkata, satu dokumen lapan perkara turut disediakan yang antara lain menyatakan bahawa beliau tidak pernah menuntut minit permainan, menghormati segala keputusan jurulatih dan tindakan meminta beliau memanaskan badan tanpa diturunkan adalah satu kesilapan.
Ronaldo menjelaskan, dokumen yang dipersetujui itu tidak menuntut Jesus memohon maaf kepadanya, namun, kenyataan yang dibuat jurulatih berkenaan kepada media langsung tidak menggambarkan perbincangan yang berlaku secara tertutup.
“Itulah kali kedua beliau mungkir janji kepada saya,” katanya.
“Saya membuat keputusan meninggalkan kem latihan tanpa menunggu sebarang janji yang mungkin tidak ditunaikan lagi.”
Bagaimanapun, selepas kemenangan Portugal ke atas Norway pada Ahad, Jesus menafikan wujud sebarang perjanjian antara beliau dan Ronaldo, namun, tidak menolak kemungkinan pemain itu kembali menyertai skuad kebangsaan.
Setakat ini, Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ronaldo.
Dalam kenyataan sama, Ronaldo turut memohon maaf kerana tidak menyapa penyokong selepas perlawanan menentang Norway selain mengakui tindakannya meninggalkan rakan sepasukan merupakan kesalahan yang lebih serius memandangkan beliau memegang tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
“Akibat daripada tindakan saya perlu dinilai dan dihukum oleh Persekutuan Bolasepak Portugal,” katanya.
Walaupun hubungan beliau dengan jurulatih dilihat retak, Ronaldo menegaskan, cita-citanya bersama pasukan kebangsaan tidak terhad kepada penampilan perpisahan semata-mata.
“Jika saya kekal cergas dari segi fizikal, terus beraksi bersama kelab dan menjaringkan gol, saya berharap dapat kembali selepas menjalani apa sahaja penggantungan yang dikenakan.
“Saya akan sentiasa bersedia seperti sebelum ini untuk bersaing dan memenangi kejuaraan bersama pasukan kebangsaan,” katanya. – Agensi