RAVENNA: Bintang legenda Brazil, Ronaldinho bakal kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif bulan depan apabila turun mewakili kelab divisyen ketiga Itali, Ravenna, dalam aksi menentang seteru setempat, Forli, pada 15 November.
Pengumuman itu dibuat oleh kelab Serie C berkenaan pada Jumaat.
Bekas penyerang Barcelona dan AC Milan berusia 46 tahun itu merupakan antara pemain paling berpengaruh dalam generasinya.
Ronaldinho membantu Brazil menjulang Piala Dunia 2002 sebelum memenangi anugerah Ballon d'Or pada 2005.
Kali terakhir beliau beraksi secara kompetitif ialah bersama kelab Brazil, Fluminense, pada 2015 sebelum mengumumkan persaraan secara rasmi tiga tahun kemudian.
Ravenna menandatangani Ronaldinho pada Jun lalu, dan legenda Brazil itu kemudiannya turut memperoleh pegangan saham dalam kelab berkenaan yang dimiliki rakannya, Ignazio Cipriani.
Menurut Cipriani, langkah membawa Ronaldinho ke Ravenna bertujuan merapatkan hubungan antara pasukan dan komuniti setempat.
Ketika tiba di Itali pada Ogos lalu, Ronaldinho tidak mengesahkan secara jelas bahawa beliau akan kembali beraksi, namun membuka ruang kepada kemungkinan untuk menjaringkan gol ke-300 dalam kariernya.
"Saya berada di sini untuk membantu," katanya ketika itu.
Perlawanan derbi menentang Forli akan berlangsung di Stadium Bruno Benelli, Ravenna.
Setakat ini, Ravenna berada di tangga kedua Kumpulan B Serie C dengan kutipan 20 mata daripada 10 perlawanan, lapan mata di belakang pendahulu liga, Spezia. - Agensi