Skip to main content

Sukan

Sukan Asia 2026: MSN perkemas SOP pengangkutan, makanan kontinjen

KUALA LUMPUR, 16 Sept - Skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, sebelum bertolak ke KLIA untuk berlepas ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Langkah berkenaan diambil susulan beberapa isu yang dilaporkan berpotensi menjejaskan kelancaran operasi sepanjang penganjuran temasya itu. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

NAGOYA: Majlis Sukan Negara (MSN) memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pengangkutan dan penyediaan makanan bagi memastikan kelancaran urusan serta kebajikan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Sekretariat MSN dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan langkah berkenaan diambil susulan beberapa isu yang dilaporkan berpotensi menjejaskan kelancaran operasi sepanjang penganjuran temasya itu.

Menurut kenyataan berkenaan, pengurus pasukan diberikan panduan sekiranya berlaku gangguan terhadap kemudahan pengangkutan atau penyediaan makanan yang boleh menjejaskan pergerakan dan keperluan kontinjen.

“Bagi aspek pengangkutan, sekiranya kenderaan yang disediakan penganjur lewat lebih satu jam dan keadaan itu berpotensi menjejaskan pergerakan, pengurus pasukan boleh menggunakan perkhidmatan e-hailing sebagai pengangkutan alternatif berdasarkan keperluan dan kadar yang munasabah.

“Bagi aspek makanan pula, sekiranya makanan yang disediakan penganjur tidak mencukupi atau gagal disediakan, MSN menyediakan hidangan sedia dimakan sebagai alternatif,” menurut kenyataan itu.

Menurut sekretariat itu lagi, sekiranya bekalan makanan sedia dimakan tidak mencukupi, pengurus pasukan boleh mendapatkan makanan alternatif untuk pasukan masing-masing berdasarkan keperluan serta jumlah atlet dan pegawai yang terlibat.

“Semua penggunaan pengangkutan atau pembelian makanan alternatif perlu direkodkan dan disokong dengan resit asal atau bukti pembayaran bagi tujuan rekod serta tuntutan balik perbelanjaan.

“SOP berkenaan merupakan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang gangguan perkhidmatan dan bukan menggantikan kemudahan pengangkutan serta makanan yang disediakan oleh penganjur,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menghantar 352 atlet dan 185 pegawai untuk menyertai 30 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang membuka tirai secara rasmi Sabtu ini hingga 4 Okt.

Malaysia menyasarkan pungutan enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa menerusi 13 jenis sukan berprospek.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement