KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 memasuki hari keempat pada Selasa dengan persaingan semakin sengit, menyaksikan beberapa detik bersejarah termasuk rekod temasya dipecahkan serta kisah kejayaan atlet yang mencuri perhatian.
Di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), pelari pecut Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee melengkapkan hatrik emas selepas menjuarai acara 200 meter (m) lelaki, selain memecahkan rekod temasya.
Catatan 20.85 saat (s) dilakukannya memadamkan rekod 21.01s milik atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmin, pada edisi 2018 di Perak.
Kejayaan itu melengkapkan hatrik emas Danish selepas sebelum ini turut mengungguli acara 100m dan 4x100m lelaki.
Dalam acara 200m wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira muncul juara dengan catatan 24.42s, sekali gus menebus kekecewaan selepas sekadar meraih perak dalam acara 4x100m.
Turut mencuri tumpuan di venue sama ialah atlet lontar peluru wanita Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul, yang menutup penampilan terakhirnya di pentas SUKMA dengan penuh bergaya apabila mempertahankan emas sambil memperbaharui rekod temasya menerusi catatan 14.22 meter (m).
Rekod acara itu menyaksikan persaingan sengit apabila diperbaharui beberapa kali sepanjang saingan hari ini sebelum Farhana muncul juara.
Sarawak pula mencuri perhatian menerusi atlet baling tukul besi wanita, Yoyo Wong Zhi Yao, yang meraih emas menerusi catatan 48.14m pada penampilan sulungnya di SUKMA.
Kejayaan atlet berusia 18 tahun itu lebih bermakna selepas melalui perjalanan hidup yang mencabar, termasuk membantu neneknya bekerja di sebuah kedai makan di Sibu selepas meninggalkan alam persekolahan.
Persaingan kedudukan keseluruhan turut kekal menarik dengan Selangor terus menerajui carta pingat.
Selangor kini mendahului carta pungutan pingat dengan 23 emas, 24 perak dan 15 gangsa, diikuti Johor dengan 17 emas, 20 perak dan 15 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan 15 emas, 22 perak dan 14 gangsa.
Hari kelima SUKMA 2026 esok dijangka menyaksikan persaingan semakin sengit apabila beberapa acara memasuki fasa penentuan, sekali gus membuka peluang kepada kontinjen negeri untuk menambah koleksi pingat emas masing-masing.
Perhatian terarah kepada sukan pencak silat di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), yang akan melabuhkan tirai saingan esok selepas berlangsung selama enam hari.
Sebanyak 28 pingat emas dipertandingkan dalam sukan berkenaan, menjadikannya antara medan penting buat kontinjen negeri menambah koleksi emas sebelum saingan berakhir.
Acara berbasikal lebuh raya di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan laluan berkaitan turut akan melabuhkan tirai esok dengan keseluruhan 10 pingat emas ditawarkan sepanjang saingan yang bermula Ahad lepas.
Beberapa sukan baharu pula akan membuka tirai saingan esok, antaranya renang dan terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, lawan pedang di Dewan Pusat Sukan UiTM Shah Alam, wushu di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, serta e-sukan di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
-- BERNAMA