JAKARTA: Pemain pertahanan baharu Harimau Malaya, Brad Tapp percaya skuad kebangsaan memiliki barisan pemain berkualiti di setiap posisi, dengan ramai antara mereka wajar mendapat lebih pengiktirafan atas sumbangan mereka sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di sini.
Tapp berkata dalam beberapa penampilan awal bersama skuad kebangsaan memberinya peluang melihat sendiri kualiti dimiliki pasukan, yang menurut beliau bukan hanya tertumpu kepada tonggak utama seperti pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi.
“Ramai daripada mereka sebenarnya pemain bertaraf bintang. Ada pemain seperti Arif yang sering mendapat perhatian dan dia sememangnya berkualiti, tetapi pada masa sama ramai lagi pemain yang tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun bekerja keras sepanjang minggu lepas.
“Seluruh pasukan terus berjuang. Kami menjaringkan sembilan gol sepanjang peringkat kumpulan dan langsung tidak bolos, jadi ia bukan hanya mengenai kekuatan serangan, tetapi juga pertahanan.
“Secara keseluruhan, semua pemain menjalankan tugas dengan sangat baik setakat ini,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 25 tahun itu kepada pemberita di sini.
Tapp, yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada kejohanan itu, turut percaya kehadiran beberapa pemain muda dan muka baharu mampu menjadi asas kukuh bagi masa depan Harimau Malaya.
“Kita juga mempunyai ramai pemain muda, termasuk saya, Fergus (Fergus Tierney) dan Manu (Manuel Hidalgo) yang baharu menyertai pasukan. Jadi, kami merupakan pasukan yang segar, tidak kira apa jua kejohanan atau perlawanan, kami akan sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya.
Bekas pemain kelab Australia, Central Coast Mariners itu berkata beliau turut gembira dengan sambutan diterimanya sejak menyertai skuad kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe itu.
“Satu penghormatan berada di sini dan saya amat bersyukur diberikan peluang ini. Semua orang menerima kehadiran saya dengan baik. Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya percaya pasukan ini mampu pergi lebih jauh serta mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.
Tapp yang berdarah campuran Malaysia-Australia mewarisi susur galur Malaysia daripada ibunya yang dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan di Butterworth sebelum berpindah ke Australia.
Beliau memulakan penampilan sulung di pentas antarabangsa dengan membantu Malaysia menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026, sebelum turut beraksi ketika seri tanpa jaringan menentang tuan rumah Indonesia dan membelasah Singapura 6-0 di Bandung.
Malaysia akan kembali beraksi di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini petang ini untuk berdepan Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga.
-- BERNAM