Skip to main content

Sukan

TFC dedikasi kemenangan pertama untuk penyokong Hitam Putih

[TB]_TFC Nafuzi Zain_FB TERENGGANU FC
Nafuzi berkata beliau amat berterima kasih atas kehadiran lebih 6,000 penyokong ke stadium, untuk memberi suntikan semangat kepada skuad Penyu. - Foto Facebook/TFC
Advertisement

KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain mendedikasikan kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi, khas buat penyokong skuad hitam putih.

Nafuzi berkata beliau amat berterima kasih atas kehadiran lebih 6,000 penyokong ke stadium, untuk memberi suntikan semangat kepada skuad Penyu.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada pemain yang telah menunjukkan komitmen tinggi daripada awal. Saya rasa kemenangan ini, hadiah untuk peminat yang datang untuk memberi sokongan.

“Walaupun kita mencatat kemenangan 3-0, ia bukanlah mudah, kerana Melaka mempunyai ketua jurulatih berpengalaman dan bermain dengan baik. Tetapi memulakan langkah (liga) dengan tiga mata adalah sesuatu yang positif dan menjadi suntikan motivasi untuk momentum seterusnya,” katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Melaka FC di SSMZA malam tadi.

Bagaimanapun bekas jurulatih skuad bawah 23 Tahun (B-23) negara itu, mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan skuad Penyu mampu menguasai liga pada masa akan datang.

Beliau berkata kerja keras serta semangat berpasukan yang tinggi merupakan ramuan penting yang menentukan kejayaan sesebuah pasukan untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, pengendali skuad Melaka FC E.Elavarasan mengakui perbezaan kualiti pemain import, menjadi faktor utama skuad Sang Kancil tewas besar kepada skuad Penyu.

Bagaimanapun beliau yakin prestasi pasukan pada perlawanan akan datang lebih meningkat dengan kehadiran empat pemain import baharu, dalam masa terdekat.

“TFC juga mempunyai barisan tonggak tempatan berpengalaman dan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

“Pemain tempatan ramai yang sudah lama di Terengganu, jadi keserasian cepat dibina. Begitu juga pemain import seperti Manuel Ott dan Habib Haroon, yang sebelum ini sudah lama dengan Nafuzi, mereka sudah serasi dan faham dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement