KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PHNS) pada Isnin mendakwa kemelut politik dan pentadbiran yang berlarutan lebih 100 hari di negeri itu, jika tidak ditangani dengan segera, boleh menjejaskan persiapan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Dalam datu kenyataan, PHNS menjelaskan, pertelingkahan dalam kalangan kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN) masih belum menemui penyelesaian meyakinkan, walaupun Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menitahkan penyelesaian mengikut lunas Perlembagaan.
"Negeri Sembilan tidak seharusnya terus menjadi mangsa percaturan politik pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir. Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan," jelas kenyataan itu.
PHNS turut mengingatkan bahawa belanjawan negeri bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam dan kelangsungan ekonomi negeri.
"Jangan sampai pertelingkahan politik BN-PN menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai," jelas kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, PHNS mempersoalkan mesyuarat melibatkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang didakwa masih meletakkan arahan parti sebagai sandaran utama berbanding penyelesaian berlandaskan perlembagaan serta penghormatan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz.
"Apakah kepentingan dan keputusan pucuk pimpinan parti hendak diletakkan mengatasi tanggungjawab wakil rakyat untuk menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan?" soal PHNS dalam kenyataan itu.
PHNS juga membangkitkan percanggahan antara pendirian kepimpinan tertinggi BN, termasuk kenyataan Presiden UMNO bahawa penyelesaian kemelut perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz, dengan pertikaian berhubung kedudukan Menteri Besar yang masih berterusan di peringkat negeri.
"Kesetiaan kepada institusi diraja tidak memadai dengan kenyataan terbuka semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang selaras dengan titah, perkenan dan peruntukan perlembagaan," jelas kenyataan itu.
PHNS menegaskan, pendirian mereka kekal konsisten menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz serta menghormati Institusi Undang Yang Empat selaras dengan adat, undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik. Kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar wajib dihormati, keluhuran Undang-Undang Tubuh wajib dipertahankan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan," jelas kenyataan itu.
Justeru, PHNS turut mendesak semua pihak dalam BN-PN segera menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan dan memulihkan pentadbiran negeri agar kembali berfungsi dengan teratur.
"Tiada mana-mana parti politik boleh menganggap mandat rakyat sebagai lesen untuk mengetepikan tanggungjawab terhadap negeri dan institusinya," jelas kenyataan itu.