Skip to main content

Sukan

Tiada tanda 'red flag', Sepang di fasa akhir persiapan Bahrain GP - Menteri

TAUFIK TINJAU SIC
Hanya beberapa kerja naik taraf dan sentuhan akhir perlu disiapkan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan sebelum trek ditutup bermula 7 September depan, ujar Mohammed Taufiq. - Astro AWANI/Seth Akmal
Advertisement

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini berada di fasa akhir persiapan bagi penganjuran Formula 1 (F1) Bahrain Grand Prix 2026 selepas pemeriksaan teknikal oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tidak menemukan sebarang 'red flag' menjelang perlumbaan yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, pasukan teknikal FIA bersama pengurusan Formula 1 mengadakan lawatan pemeriksaan ke SIC pada 23 Julai lalu bagi menilai tahap kesiapsiagaan litar.

"Kita sudah bersedia. Hanya beberapa kerja naik taraf dan sentuhan akhir perlu disiapkan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan sebelum trek ditutup bermula 7 September depan," katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke SIC, hari ini.

Beliau berkata, penutupan trek itu bertujuan memberi laluan kepada kerja naik taraf, ujian teknikal serta persiapan akhir menjelang perlumbaan dan akan berkuat kuasa sehingga tamat penganjuran Bahrain Grand Prix.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq berkata, Jemaah Menteri pada Rabu meluluskan memorandum berkaitan penganjuran Formula 1 Bahrain Grand Prix di Sepang.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang melibatkan ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah serta agensi berkaitan bagi memperincikan gerak kerja penganjuran.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa induk yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan ditubuhkan bagi menyelaras aspek keselamatan, protokol dan logistik.

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan turut menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memantau pelaksanaan semua gerak kerja mengikut garis masa yang ditetapkan.

"SIC juga akan sentiasa memberikan laporan secara berkala kepada team jawatankuasa teknikal KBS dan saya sendiri akan memantau jawatankuasa tersebut dan memastikan segala gerak kerja berjalan dengan baik," katanya lagi.

Dalam pada itu, SIC akan meneruskan perbincangan berkala bersama Bahrain International Circuit (BIC) bagi memperincikan aspek teknikal termasuk pengurusan tiket dan operasi penganjuran menjelang perlumbaan berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement