GEORGE TOWN: Tiga atlet Masters negara, termasuk wakil Pulau Pinang melakar kejayaan membanggakan apabila meraih pingat perak dalam acara berpasukan lumba jalan kaki 10 kilometer kategori lelaki M50 pada Kejohanan Olahraga Masters Dunia 2026 di Daegu, Korea Selatan, Sabtu lepas.
Sukhraj Singh Dhillon, 57, bersama dua rakannya Suresh Kumar, 54, dan Elangovan Sithiram Suppiah, 70, berjaya menamatkan saingan dalam keadaan mencabar apabila perlumbaan berlangsung dengan suhu sekitar 33 hingga 34 darjah Celsius serta kelembapan yang tinggi.
Anak Sukhraj, Sachmeer Raj Singh Dhillon, 25, berkata kejayaan itu amat bermakna buat bapanya yang telah berkecimpung dalam acara lumba jalan kaki sejak berusia kira-kira 18 tahun dan ini adalah julung kalinya Malaysia memenangi pingat selepas 43 tahun.
“Ini kali pertama ayah menyertai kejohanan Masters dunia dan mereka berjaya membawa pulang pingat perak bersama dua rakan sepasukan. Ia sesuatu yang sangat menggembirakan dan membanggakan.
“Beliau memang lama aktif dalam sukan ini dan pernah mewakili Pulau Pinang serta Malaysia dalam pelbagai kejohanan, termasuk pertandingan Masters dan acara terbuka di dalam serta luar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Sachmeer berkata bapanya yang juga Naib Presiden Persatuan Olahraga Masters Pulau Pinang (PMAA) memang aktif dalam olahraga dan ketiga-tiga atlet itu bukanlah pendatang baharu kerana sudah bergiat aktif sejak usia muda.
Beliau berkata mereka pernah menyertai pelbagai kejohanan, maraton dan pertandingan terbuka di peringkat negeri, kebangsaan serta luar negara.
Menurut Sachmeer, latihan yang dilakukan bukan sekadar persiapan beberapa bulan, sebaliknya hasil pengalaman serta komitmen berterusan selama puluhan tahun dalam sukan lumba jalan kaki.
“Bapa yang masih bekerja sebagai pengurus logistik terus aktif berlatih dan menyertai pertandingan meskipun sudah berusia 50-an.
“Kejayaan trio berkenaan turut membanggakan kerana mereka antara kumpulan atlet Malaysia terawal yang berjaya menyumbang pingat dalam saingan Masters pada kejohanan dunia di Korea Selatan itu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PMAA, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA) serta Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia (RWAM) atas sokongan kepada pasukan berkenaan.
-- BERNAMA