JUARA welterweight UFC, Islam Makhachev berjaya mempertahankan kejuaraannya selepas menewaskan pencabar dari Ireland, Ian Machado Garry pada aksi UFC 330, pada Ahad.
Dalam acara utama yang berlangsung di Xfinity Mobile Arena, Makhachev menang menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas pertarungan lima pusingan yang dikendalikan pengadil Herb Dean.
Pusingan pertama menyaksikan Makhachev memanfaatkan tendangan kaki sebelum membawa Garry ke kanvas dan menggunakan kelebihan gustinya untuk terus menekan pencabar itu di pagar Octagon.
Pada pusingan kedua, Garry tampil lebih agresif, namun satu sepakan tinggi padu dari kaki kiri Makhachev menjatuhkannya sebelum juara itu kembali menguasai pertarungan menerusi takedown dan tekanan di gelanggang.
Garry mula menemui rentak pada pusingan ketiga apabila berjaya membalikkan posisi ketika diasak dengan takedown, sebelum mendaratkan beberapa serangan termasuk sepakan ke kepala terhadap Makhachev.
Momentum Garry diteruskan pada pusingan keempat menerusi beberapa tendangan ke badan dan pertahanan takedown yang baik, meskipun Makhachev terus memberikan tekanan dengan beberapa percubaan untuk membawa pertarungan ke kanvas.
Memasuki pusingan kelima dan terakhir, Makhachev kembali mengambil alih apabila berjaya menjatuhkan Garry sebelum menguasai belakang pencabarnya dan mengekalkan posisi itu sehingga penghujung pertarungan.
Kemenangan terbaharu itu meningkatkan rekod profesional Makhachev kepada 29 kemenangan dan satu kekalahan, selain mencipta sejarah apabila merekodkan kemenangan ke-17 berturut-turut dalam UFC.
Pencapaian itu membolehkan petarung kelahiran Dagestan, Rusia berusia 34 tahun itu mengatasi rekod 16 kemenangan berturut-turut yang sebelum ini dikongsi bersama legenda UFC, Anderson Silva.
Makhachev sebelum ini merangkul gelaran lightweight UFC selepas menewaskan Charles Oliveira, sebelum mempertahankan kejuaraan itu menerusi empat pertarungan, termasuk dua kali berdepan Alexander Volkanovski serta menentang Dustin Poirier dan Renato Moicano.
Dia kemudian naik ke divisyen welterweight dan menewaskan Jack Della Maddalena menerusi keputusan sebulat suara untuk muncul juara dua divisyen, sebelum melakukan pertahanan pertama gelaran 170 paun itu menentang Garry di UFC 330.
Garry pula mendapat peluang merebut kejuaraan selepas kembali bangkit daripada satu-satunya kekalahan dalam kariernya ketika menentang Shavkat Rakhmonov.
Petarung berusia 28 tahun itu kemudian membina semula kedudukannya dalam divisyen menerusi kemenangan ke atas Carlos Prates dan bekas juara welterweight, Belal Muhammad, sebelum dipilih mencabar Makhachev.
Sementara itu, juara strawweight wanita Mackenzie Dern turut berjaya mempertahankan kejuaraannya selepas menewaskan Gillian Robertson menerusi keputusan sebulat suara dalam acara kedua utama.
Dern mendominasi sebahagian besar pertarungan menerusi kombinasi striking dan grappling, selain beberapa kali mengancam dengan percubaan submission atau kuncian.
Ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada Dern dengan mata 49-46, 49-46 dan 48-47, sekali gus menyaksikannya berjaya melakukan pertahanan pertama gelaran strawweight UFC.