Skip to main content

Sukan

UFC: Kamaru Usman pertimbang masa depan karier selepas tewas kepada Du Plessis

The Nigerian Nightmare. 🇳🇬 July 18, @usman84kg steps into the Octagon at middleweight with one goal in mind… championship gold.⁠_IG onxlabs
Bekas juara welterweight UFC, Kamaru Usman mengakui beliau perlu menilai semula masa depan kariernya selepas tewas kepada Dricus du Plessis dalam acara utama UFC Oklahoma City, baru-baru ini. - Gambar fail/Instagram/@onxlabs
Advertisement

BEKAS juara welterweight UFC, Kamaru Usman mengakui beliau perlu menilai semula masa depan kariernya selepas tewas kepada Dricus du Plessis dalam acara utama UFC Oklahoma City, baru-baru ini.

Usman tewas kepada Du Plessis menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan middleweight yang berlangsung di Paycom Center, Oklahoma City pada 18 Julai lalu.

Keputusan rasmi UFC menunjukkan Du Plessis menang dengan kiraan markah 50-45, 49-46 dan 49-46 selepas menguasai sebahagian besar pertarungan lima pusingan tersebut.

Kekalahan itu meletakkan Usman dalam kedudukan sukar, terutama ketika bekas juara welterweight tersebut sedang cuba membina semula kariernya di divisyen middleweight.

Dalam kemunculan di podcast Pound-for-Pound, Usman berkata beliau perlu berbincang dengan jurulatih, pasukan dan keluarganya sebelum membuat keputusan berhubung langkah seterusnya.

“Buat masa ini, saya perlu duduk bersama jurulatih, bersama pasukan dan menilai semuanya,” kata Usman seperti dilaporkan MMA Fighting.

“Nilai kedudukan saya dalam karier ini dan lihat sama ada masih berbaloi untuk meneruskan semua ini,” katanya.

Usman, 39, berkata kekalahan kepada Du Plessis sukar diterima kerana beliau merasakan persembahannya kali ini tidak menggambarkan standard yang sering diletakkan terhadap dirinya.

Menurut Usman, dalam beberapa kekalahan sebelum ini, beliau masih merasakan ada perkara positif yang boleh dijadikan asas untuk bangkit.

Beliau merujuk kepada kekalahan kepada Leon Edwards dan Khamzat Chimaev sebagai contoh pertarungan yang masih mempunyai elemen persaingan dan ruang untuk diperbaiki.

Bagaimanapun, Usman mengakui kekalahan kepada Du Plessis memberi gambaran berbeza kepada penonton, walaupun beliau sendiri tidak semestinya merasakan pertarungan itu sepenuhnya berat sebelah.

“Pertarungan ini, bagi orang biasa yang melihatnya, nampak seperti saya mengambil cabaran yang terlalu besar. Itu penilaian yang adil dan jujur,” katanya.

“Walaupun saya mungkin tidak merasakannya begitu dalam diri saya, ia kelihatan seperti itu dan saya tidak suka perkara tersebut,” katanya lagi.

Usman belum menetapkan sebarang tempoh masa untuk membuat keputusan mengenai masa depannya.

Namun, beliau mengakui keputusan yang bakal dibuat mungkin sukar dan berpotensi memberi kesan besar kepada kariernya.

“Saya perlu benar-benar menilai semula keadaan saya, duduk bersama pasukan, keluarga dan menilai sebelum membuat keputusan.

“Apabila anda sudah mencapai begitu banyak perkara dan merasai begitu banyak kemuncak dalam sukan ini, apabila anda mula merasai kejatuhan, ia bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.

Usman pernah dianggap antara juara welterweight paling dominan dalam sejarah UFC selepas mempertahankan gelaran sebanyak lima kali.

Sepanjang kariernya, beliau mencatat kemenangan ke atas beberapa nama besar termasuk Tyron Woodley, Colby Covington, Jorge Masvidal, Gilbert Burns dan Rafael dos Anjos.

Bagaimanapun, kedudukannya mula berubah selepas tewas kepada Edwards pada 2022, sebelum sekali lagi tewas kepada lawan sama dalam perlawanan ulangan pada 2023.

Usman kemudian menerima pertarungan middleweight menentang Chimaev secara notis singkat di UFC 294, namun tewas menerusi keputusan.

Beliau kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Joaquin Buckley di UFC Atlanta pada Jun lalu, sebelum kembali tewas kepada Du Plessis di Oklahoma City.

Kekalahan terbaru itu mencetuskan persoalan sama ada Usman masih mahu meneruskan karier aktif atau mula mempertimbangkan persaraan selepas lebih sedekad bersaing di tahap tertinggi MMA.

Setakat ini, Usman belum membuat keputusan rasmi berhubung pertarungan seterusnya.


  • Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement