Skip to main content

Sukan

Ultras Malaya desak tarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan

Ultras Malaya desak tarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan
Ultras Malaya tampil dengan dua tuntutan susulan keputusan terkini Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan.

KUMPULAN penyokong tegar skuad bola sepak kebangsaan, Ultras Malaya tampil dengan dua tuntutan susulan keputusan terkini Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi mereka, Ultras Malaya menuntut pihak bertanggungjawab membuat pengakuan pemalsuan dokumen sudah berlaku membabitkan tujuh pemain warisan negara.

Advertisement

Lebih tegas, kumpulan itu turut menuntut agar kerakyatan ketujuh-tujuh pemain berkenaan ditarik balik serta-merta.

"Sebelum ini minta tunggu keputusan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)? Dah. Kamu minta tunggu rayuan FIFA? Dah. Kamu minta tunggu rayuan CAS? Dah.

"Sekarang kami pula minta. Mengaku bahawa pemalsuan dokumen berlaku! Tarik balik kerakyatan tujuh individu terlibat! Kita selesaikan perkara asas ini dahulu, lepas itu baru cerita bab lain," kata kumpulan itu dalam hantaran tersebut.

Keputusan terbaharu CAS pada Khamis menyaksikan rayuan FAM dan tujuh pemain warisan ditolak sekali gus mengekalkan hukuman asal yang telah dijatuhkan oleh FIFA.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video