Lebih 600 atlet dari 28 buah negara bakal menyertai Kejohanan 113 Triathlon Malaysia 2017, yang kini masuk tahun keempat penganjuran, di Lotus Desaru Beach Resort, dekat sini pada 13 Mei ini.

Pengarah program Andy Foo Mun Kit berkata antara negara yang bakal menyertai kejohanan itu ialah Brunei, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Sepanyol, New Zealand, China, Indonesia, Kanada, Itali dan Perancis.

"Kategori utama yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei ini melibatkan acara renang sejauh dua kilometer, berbasikal (90km) dan berlari (21km).

"Manakala dua kategori sampingan iaitu 113 Sprint melibatkan acara renang sejauh 750 meter, berbasikal (20km) dan berlari (5km) dan bagi kategori 113 Mini melibatkan acara renang sejauh 300 meter, berbasikal (10km) dan berlari (2km)," kata beliau kepada pemberita di sini pada Selasa.

Menurut Foo kategori utama biasanya disertai oleh atlet yang sudah biasa dengan konsep sukan ekstrem seperti ini manakala bagi mereka yang masih baru mencuba termasuk kanak-kanak, boleh menyertai kategori 113 Sprint dan 113 Mini yang mana melibatkan aktiviti dalam jarak yang singkat.

Pada kejohanan itu, sebanyak RM30,000 wang tunai serta barangan ditawarkan untuk dibawa pulang oleh lebih 120 pemenang setiap kategori, katanya.

-- BERNAMA