KUALA LUMPUR: Beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang muncul juara Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun Ahad lalu menerima insentif berjumlah RM300,000 daripada  Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kedua-dua mereka turut menerima RM100,000 dari 100 Plus selain RM100,000 lagi dari Yonex pada Majlis pemberian insentif yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Rabu.

Pasangan beregu itu mencatat sejarah pada kejohanan di Gimnasium Metropolitan Tokyo Ahad lalu selepas mencatatkan kemenangan 21-19, 21-14 ke atas pasangan beregu Indonesia Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pusingan akhir.

Pencapaian itu menamatkan penantian 45 tahun peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia.

Ia merupakan penampilan keempat Aaron-Wooi Yik di kejohanan dunia dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.