Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menyerahkan kepada 35 persatuan sukan kebangsaan untuk membuat keputusan terbaik pada pemilihan pucuk pimpinan baharu Majlis Olimpik Malaysia, Sabtu ini.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) itu menegaskan, beliau bersedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh perwakilan 35 persatuan berkenaan yang akan mengundi untuk menentukan barisan pimpinan baharu MOM bagi penggal 2018-2021.

Abdul Azim, bakal dicabar Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi jawatan Timbalan Presiden MOM.

"Saya serahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan yang tepat, begitu juga dengan rakan saya, Datuk Megat kerana dua-dua pun ada kebolehan, pengalaman.

"Saya sendiri telah berhubung dengan beberapa perwakilan untuk minta sokongan dan nampak reaksi mereka okey tetapi dalam apa juga pemilihan mesti ada yang menang dan kalah," kata Abdul Azim ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan semasa sidang media di Bangunan ISN, di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sah menang jawatan Presiden MOM selepas menang tanpa bertanding apabila menjadi calon tunggal untuk jawatan itu.

Beliau menggantikan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan yang disandang selama 20 tahun.

Penyandang jawatan Setiausaha Agung, Datuk Low Beng Choo bakal dicabar Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Lima jawatan Naib Presiden pula menyaksikan pertandingan antara sembilan calon, termasuk tiga penyandang - Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar dan Datuk Ong Poh Eng. -- Bernama