KUALA LUMPUR: Akademi Badminton Malaysia (ABM) membawa masuk dua bekas pemain kebangsaan Indonesia, Ade Yusuf Santoso, 30, dan Gerardo Rizqullah Hafidz, 21, untuk dijadikan rakan sepelatih buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah sebagai persediaan menghadapi kelayakan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata perbincangan untuk mengambil kedua-dua bekas pemain berkenan sebenarnya sudah lama dibuat dan dipersetujui oleh jawatankuasa Road To Gold (RTG) bagi meningkatkan lagi prestasi beregu negara itu.

Katanya, Ade Yusof dan Gerardo Rizqullah sudah memulakan tugas mereka pada Isnin lalu sehingga awal bulan Mac ini sebelum dua lagi bekas pemain Indonesia diambil bagi menggantikan tempat mereka.

“Saya bukan tidak mahu mereka berlatih dengan beregu wanita yang lain kerana seperti media tahu, jurang antara Pearly-Thinaah dan pemain-pemain lain itu jauh.  

“Malah kita juga tidak mahu guna pemain pelapis atau remaja seperti mana yang dilakukan sebelum ini untuk menjadikan rakan sepelatih Pearly-Thinaah sebab mereka juga ada tugas masing-masing yang memerlukan mereka untuk fokus.

“Jadi saya berikan satu idea untuk bawa bekas pemain Indonesia untuk jadi rakan sepelatih dan mereka ini juga umur masih okay cumanya mereka tidak lagi bersama skuad kebangsaan.

"Jadi mereka telah bersetuju untuk jadi rakan sepelatih dan harap kita boleh menaikkan lagi prestasi Pearly dan Thinaah,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di ABM Bukit Kiara di sini semalam.

Dalam pada itu, Rexy ketika ditanya berkenaan persiapan skuad negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan membuka tirainya 13-18 Feb ini, beliau berkata kesemua pemain sudah melaporkan diri bagi menyertai kem latihan di ABM kecuali pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia.

Katanya, satu perlawanan simulasi secara tertutup antara pemain-pemain kebangsaan dan pemain yang beraksi di BATC akan dijalankan di ABM pada minggu ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu.

-- BERNAMA