KUALA LUMPUR: Pencapaian luar biasa bintang muda Carlos Alcaraz yang berjaya meraih gelaran ATP keempatnya di Terbuka Madrid awal pagi tadi membuktikan kehadirannya wajar diberi perhatian.

Menerusi aksi menentang juara bertahan dan pemenang pingat emas Olimpik, Alexander Zverev, Alcaraz menang mudah dengan 6-3 dan 6-1.

Kemenangan ini membolehkan bintang Sepanyol berusia 19 tahun ini melonjak ke ranking keenam dunia sebelum Terbuka Perancis pada Mei.

Menerusi aksi di gelanggang akhir di Gelanggang Manolo Santana, Alcaraz mempamerkan aksi hebat seterusnya menggagalkan usaha bintang Jerman itu untuk mempertahankan kemenangannya.

Kemenangan di Madrid ini juga merupakan kemenangan keduanya dalam kejuaraan bertaraf ATP Master 1000 selepas muncul sebagai juara termuda dalam sejarah Terbuka Miami.

Muncul sebagai pemain profesional pada 2018, Alcaraz terus mempamerkan aksi yang konsisten di Terbuka Madrid apabila berjaya menundukkan Rafael Nadal di peringkat suku akhir.

Dia dijangka berdepan laluan sukar ke final kerana perlu melepasi pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di peringkat separuh akhir.

Namun kemaraannya ternyata tidak boleh digugat apabila Djokovic juga tewas dengan sekadar memperoleh kemenangan pada set pertama dalam aksi itu.

Ia seterusnya membuka peluang kepada Alcaraz untuk terus mencipta rentak juara apabila berjaya memperoleh kemenangan di set kedua dan ketiga.

Menerusi aksi itu juga, Alcaraz mencipta rekod dengan memperolehi kemenangan pertama dalam aksi pertama menentang Djokovic.

Pastinya rentak gemilang Alcaraz dinanti peminat menjelang kejohanan Terbuka Perancis 2022 yang akan membuka tirai pada 16 Mei ini.

Umum mengetahui gelanggang tanah liat ini merupakan ‘makanan’ bagi Nadal setelah berjaya memperoleh 13 kemenangan dan kali terakhir berbuat demikian pada 2020 dalam aksi menentang Djokovic dalam straight set.

Malah Nadal kini merupakan satu-satunya bintang tenis lelaki dengan pencapaian 21 trofi Grand Slam mengetepikan dua dominan utama tenis lelaki; Djokovic dan Roger Federer.

Sekiranya konsisten, Nadal mungkin akan mampu menjulang trofi Grand Slam yang 22 dan cetak 14 kemenangan di Terbuka Perancis sekali gus menyamakan rekod sepanjang zaman milik Steffi Graf.

Alcaraz pertama kali beraksi di gelanggang Terbuka Perancis pada 2021 namun langkahnya terkandas di pusingan ketiga selepas tewas straight set kepada bintang Jerman Jan-Lennard Straff dalam aksi di Court Simonne-Mathieu.

Bagi Djokovic, isu berkaitan vaksin COVID-19 menyekat impiannya meraih kemenangan di Terbuka Australia yang lepas selepas dihantar pulang dan tidak dibenarkan masuk ke negara itu untuk tempoh tiga tahun mendatang.

Dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika ini, Djokovic mungkin akan kembali beraksi cemerlang bagi ‘menuntut’ kemenangan di Paris kelak.

Kali terakhir jaguh Serbia ini cipta kemenangan di Terbuka Perancis pada 2021 apabila berjaya menjinakkan bintang muda Greece, Stefanos Tsitsipas.

Namun dengan hanya dua kemenangan setakat ini Roland Garros, kelebihan mungkin masih memihak kepada Nadal sekiranya dia turun tanpa sebarang kecederaan.

Manakala bagi jaguh Switzerland, Federer yang sudah sekian lama tidak beraksi akibat masalah kecederaan, saingan di Terbuka Perancis juga bukanlah sesuatu yang dinantikan peminat.

Ini kerana dengan sekadar satu rekod kemenangan pada 2009, adalah sukar bagi Federer mempamer aksi luar biasa dan mencipta kemenangan di gelanggang tanah liat itu.

Untuk itu, sekiranya terus cergas dan mampu pamer aksi luar biasa, Alcaraz mungkin akan mampu membenam saingan bintang muda seperti Alexander Zverev, Stefanos Tsitsipas, Dominic Thiem, Daniil Medvedev dan menjinakkan tiga jaguh utama ini untuk menjulang trofi Grand Slam sulongnya.

Kita tunggu dan lihat!