Keputusan Malaysian Football League (MFL) meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada bulan Ramadan beri kebaikan kepada skuad kebangsaan khususnya dalam aspek kecergasan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Jun ini.

Perlawanan playoff pertama antara Malaysia dan Timor Leste akan berlangsung pada 7 Jun manakala perlawanan timbal balik pada 11 Jun di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji pendekatan MFL yang mementingkan agenda kebangsaan tanpa merehatkan perjalanan Liga M pada bulan Ramadan.

"Saya berpendapat Liga Malaysia berjalan pada bulan Ramadan sebenarnya mempunyai kebaikan kerana ia dapat membantu pasukan kebangsaan. Jika Liga Malaysia rehat pada bulan Ramadan, ia sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan.

"Tapi ia berbeza apabila pemain terus bermain di perlawanan kompetitif sebelum dipanggil menyertai latihan pusat. Sememangnya bermain di bulan Ramadan sedikit sebanyak memberikan kesan kepada fizikal dan kecergasan pemain.

"Namun mereka sudah memiliki pengalaman bermain di bulan Ramadan pada tahun lepas, jadi ia tidak akan mengganggu rentak mereka," katanya dalam kenyataan media hari ini.

MFL membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Premier serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadan ini.

Cheng Hoe yakin pemain negara tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan prestasi sepanjang bermain pada bulan puasa.

"Yang penting pemain harus menikmati setiap masa apabila bermain dalam bulan Ramadan dan saya fikir ramai yang mula tidak setuju tetapi sebagai bekas pemain sendiri, saya percaya pemain dapat menyesuaikan diri dalam situasi ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam laman sosial Facebook FAM juga mengingatkan skuad kendalian Cheng Hoe yang bakal beraksi pada minggu Hari Raya nanti untuk kekal cergas.

"Namun dalam pada keringat dan kudrat di sesi latihan dicurahkan bagi mempersiapkan diri dalam perlawanan mendatang pengorbanan demi lencana di dada, jangan pula kita lupakan ruang serta masa untuk mencari keberkatan Allah SWT.

"Bagi pihak warga kerja FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan padu. Marhaban Ya Ramadan," katanya.

-- BERNAMA