Perlawanan persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam esok menjadi medan terakhir bagi pemain skuad kebangsaan untuk memikat hati ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan tempat dalam skuad Piala AFF Suzuki 2016.

Kim Swee yang menyenaraikan lima muka baharu dalam senarai 30 pemain pada 21 Sept lepas untuk dua siri perlawanan persabahatan menentang Singapura pada Sabtu lalu dan Afghanistan, mahu memberikan peluang kepada sebanyak mana pemain yang boleh sebelum memutuskan senarai 25 pemain untuk kem latihan terakhir pada bulan hadapan.

Pasukan Harimau Malaysia itu kemudian dijangka mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 Nov di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 Nov hingga 17 Dis ini.

"Saya perlu membina kombinasi baharu, beri mereka peluang untuk menarik perhatian saya dan pastikan mereka tahu apa yang saya mahukan daripada mereka sebagai satu pasukan.

"Maka ini merupakan tempoh terakhir bagi pemain untuk membuktikan kemampuan mereka," katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM di sini, hari ini.

Lima muka baharu yang dipanggil Kim Swee untuk kem latihan yang bermula 27 Sept lalu ialah Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Mohd Ghazali dari Kedah, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) serta Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka).

Mengulas lanjut mengenai perlawanan esok menentang pasukan yang menghuni kedudukan ke-149 dalam ranking dunia, Kim Swee mahu para pemain mencipta kemenangan selain memahami konsep, taktikal dan kaedah perlawanan yang diterapkan oleh beliau.

"Seperti yang kita tahu, semua pasukan dari timur tengah memang mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pemain Afghanistan ini sedang bermain di Liga Eropah.

"Selepas melihat aksi mereka menentang Singapura dan Lebanon sebelum ini, saya boleh kata mereka mempunyai pasukan yang seimbang di semua bahagian. Apa yang penting ialah kita perlu elak daripada dibolosi," katanya.

Kim Swee turut mengesahkan bahawa kebanyakan pemain berada dalam keadaan baik untuk perlawanan esok, kecuali Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Khairul Helmi Johari yang cedera.

Sementara itu, Baddrol Bakhtiar yang mempunyai kebolehan bermain dengan kedua-dua belah kakinya, bersedia untuk menggalas tugasnya mengikut rancangan Kim Swee.

"Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk berganding dengan mana-mana pemain tengah yang lain kerana sebagai seorang pemain saya sentiasa bersedia untuk menunjukkan aksi yang baik tetapi mengambil satu atau dua perlawanan untuk mendapatkan keserasian," katanya.

Dalam tiga aksi terakhir Malaysia yang menghuni ranking dunia ke-158, seri tanpa jaringan dengan Singapura (8 Okt), tewas 3-0 di tangan Indonesia (6 Sept) dan seri 1-1 dengan Fiji (26 Jun), manakala Afghanistan pula tewas 0-2 kepada Lebanon (5 Sept), menang 2-1 kepada Singapura (29 Mac) dibelasah 5-0 oleh Jepun (24 Mac).

Untuk rekod, Malaysia hanya mencatatkan tiga kemenangan daripada 10 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun lalu dan kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan menentang New Caledonia, yang tidak diiktiraf oleh FIFA akibat kesilapan teknikal oleh pihak penganjur. -- BERNAMA