Perlawanan keenam Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Palestin pada 12 Nov ini akan diadakan di gelanggang berkecuali.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan di Stadium Dura, Hebron sebelum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersetuju mengadakan perlawanan di luar Palestin.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengesahkannya berkata FIFA mengadakan mesyuarat tergempar yang turut dihadiri Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al-Khalifa dan bersetuju memindahkan perlawanan itu di gelanggang berkecuali.

"Buat masa ini, kita masih menunggu kata putus daripada FIFA dan keputusan muktamad hanya akan diketahui malam ini," katanya kepada Bernama.

Semalam, FAM dilaporkan telah menghantar surat rayuan kali ketiga kepada FIFA bagi membolehkan aksi antara kedua-dua pasukan diadakan di gelanggang berkecuali susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di Tebing Barat namun ditolak.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa mendakwa FIFA telah menunda perlawanan antara Arab Saudi dan Palestin pada 13 Okt lepas kerana pelawat tidak yakin dengan keselamatan di Tebing Barat.