Tidak seperti graduan lain, atlet terjun negara Leong Mun Yee terpaksa mengambil masa 10 tahun untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mun Yee, 32, berkata perjalanannya sebagai pelajar universiti tidak sama seperti graduan lain kerana komitmen bukan sahaja perlu diberikan dalam pelajaran tetapi tanggungjawab kepada negara sebagai atlet.

Dalam tempoh 10 tahun itu, Mun Yee berpuas hati dapat mengharumkan nama negara dengan beberapa pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa dan menamatkan pengajian dengan keputusan yang terpuji.

"Mewakili negara di peringkat antarabangsa tanpa mengambil kira waktu semester atau kuliah. Sebab itu saya menjadi antara pelajar yang mengambil masa agak lama untuk menamatkan pengajian. Walaupun 10 tahun tempoh pengajian di universiti ini, saya tetap boleh berbangga.

"Kebanggaan ini punya asasnya menerusi beberapa pencapaian sebagai atlet semasa bergelar pelajar UPM. Saya bersyukur dengan keupayaan untuk melengkapkan pengajian di sini. Bukan semua atlet dapat menamatkan pengajian mereka pada peringkat ini.

"Sebagai pelajar saya juga tidak terkecuali untuk melengkapkan pengajian dengan hadir kuliah, menduduki ujian dan peperiksaan di samping memberi masa untuk latihan di sini dan luar negara," kata Mun Yee ketika diberi penghormatan berucap mewakili graduan UPM pada Majlis Konvokesyen ke-41 UPM hari ini.

Mun Yee menerima ijazah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada istiadat yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, UPM di sini.

Antara pencapaian Mun Yee sebagai atlet mahasiswa adalah meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2009 di Rome dan Barcelona 2013, pingat perak Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan pingat perak Siri Dunia di Beijing 2011, dan terbaru pingat emas Kejohanan Grand Prix Kuala Lumpur dalam acara 10 meter platform seirama gandingan bersama Pandelela Rinong.

Beliau juga memenangi pingat perak dalam dua temasya Sukan Asia di Guangzhou pada 2010 dan Incheon 2014, selain 10 pingat emas sepanjang penyertaannya di Sukan SEA.

Bercakap kepada pemberita, Mun Yee berkata beliau berhasrat menyambung pengajiannya di peringkat sarjana pada tahun depan dalam bidang Sains Sukan, namun perkara itu masih dalam pertimbangan.

"Saya memang mahu menyambung di peringkat sarjana selepas ini, tetapi jadual tahun depan padat...saya akan fikirkan dahulu dengan mengambil kira jadual kejohanan tahun depan. Terima kasih kepada UPM, pensyarah dan pegawai serta staf yang telah mengajar dan mendidik saya di sini," katanya.

- BERNAMA