Sepanjang Piala Dunia FIFA 2014 berlangsung, ada yang terlalu cepat menganggap Eropah bukan lagi kuasa besar dalam bola sepak dengan kepulangan awal juara dunia 2010 Sepanyol, Juara 2006 Itali serta England dan Portugal.

Namun pada hakikatnya, dua daripada empat pasukan yang bakal berentap di separuh akhir adalah pasukan dari Eropah iaitu Jerman dan Belanda.

Dua pasukan itu sudah pasti mahu melakar sejarah di pentas dunia dengan menjadi pasukan Eropah pertama menjuarai Piala Dunia yang diadakan di Amerika Selatan.

Lebih menarik lagi, dua gergasi dari Amerika Selatan, Argentina dan Brazil bakal menjadi halangan untuk Jerman atau Belanda mencipta sejarah.

Sememangnya menjadi tradisi, empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir merupakan dari Amerika Selatan atau Eropah.

Hanya dua kejohanan Piala Dunia pernah menyaksikan pasukan dari benua lain mara ke separuh akhir.

Pada 2002, Korea Selatan sebagai hos kejohanan bersama Jepun, menjadi pasukan pertama dari Asia untuk mara ke separuh akhir.

Amerika Syarikat menjadi pasukan pertama dari luar benua Amerika Selatan dan Eropah mara ke separuh akhir semasa Piala Dunia yang julung kali diadakan pada 1930 di Uruguay.

Pentas Piala Dunia kali ini juga merupakan kali pertama Argentina dan Brazil mara ke separuh akhir dalam kejohanan Piala Dunia yang sama.

Disebalik pujian terhadap permainan bola sepak Amerika Selatan, hanya empat daripada 23 pemain Argentina bermain di luar Eropah.

Seorang daripada empat pemain tersebut pula bermain di liga Mexico.

Bagi Brazil pula, daripada 23 pemain yang mewakili negara itu tahun ini, hanya lima orang tidak beraksi di liga Eropah.

Mungkin Eropah menjadi medan pemain-pemain ternama dari Amerika Selatan meneruskan pembangunan mereka sebagai pemain profesional.

Malah ada yang menganggap corak permainan 'samba' yang dipamerkan skuad Brazil sebelum ini sudahpun hilang dan corak permainan mereka lebih kepada taktikal permainan Eropah.

Bagi pasukan dari benua lain, jurang perbezaan semakin rapat dengan kualiti pemain dari Eropah dan Amerika Selatan, namun perjalanan mereka masih lagi jauh untuk muncul juara Piala Dunia.