KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Speedy Tigers A. Arul Selvaraj berharap peminat hoki tanah air terus menyokong skuad kebangsaan meskipun sekadar menamatkan saingan di tempat kelima kempen kelayakan Olimpik Paris 2024.

"Kami berharap peminat hoki tanah air terus menyokong pasukan kerana saya pasti kita akan melalui landasan (sukar) ini, tapi suatu hari nanti (jika) kita bekerja dengan betul, pastinya kita akan mencapai kejayaan," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media hari ini.

Mengenai perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam menentang Kanada semalam, Arul Selvaraj mengakui sentuhan penyudah yang tumpul atau tidak melakukan keputusan dengan baik ketika dalam circle opponent menjadi penyebab skuad negara diheret ke penentuan penalti.

Beliau berkata skuad negara berjaya mencipta banyak peluang berbanding pasukan lawan namun tidak berjaya menjelmakan sentuhan penyudah sempurna.

"Ini pandangan peribadi saya dari segi keujurulatihan dan pasukan. Dalam perlawanan ini bila kita lihat statistik, circle entry, peluang yang dicipta, kawalan bola, posisi bola, semuanya lebih tinggi daripada pasukan lawan.

"Manakala dalam D mungkin kita punya low body position tidak mencukupi dan kemahuan untuk menang bola 50-50 menyebabkan pihak lawan dapat menjaringkan (gol)," katanya.

Pada perlawanan menentang Kanada, skuad negara menang 3-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat masa perlawanan.

Gol pasukan negara dijaringkan oleh Muhammad Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Skuad Speedy Tigers membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lepas, kemudian tewas 1-4 dengan Great Britain pada Selasa dan terikat 3-3 menentang Pakistan pada awal pagi Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal ke pentas Olimpik Paris 20214 selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan dengan sembilan mata, Pakistan (empat) dan China (tiga).

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan layak ke Sukan Olimpik 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

-- BERNAMA