EDEN HAZARD seakan-akan mengesahkan dirinya akan meninggalkan Chelsea selepas menjaringkan dua gol yang membantu pasukan itu menewaskan Arsenal 4-1 dalam final Liga Europa di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan, awal pagi Khamis.

Selepas menjaringkan dua gol itu, dia berkata sebaik tamat perlawanan: "Saya berasakan ia adalah ucapan selamat tinggal."

Penyerang kebangsaan Belgium itu sudah sekian lama dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, namun menjelaskan keputusan yang dilakukannya masih perlu melalui proses perbincangan di antara kedua-dua kelab.

"Kami akan menentukannya dalam beberapa hari lagi dan sasaran saya ketika ini hanyalah untuk memenangi final malam ini," katanya kepada BT Sport.

"Saya sudah membuat keputusan dan kini sedang menantikan perbincangan di antara kedua-dua kelab.

"Saya rasa ia ucapan selamat tinggal, namun dalam bola sepak, tiada siapa tahu apa yang akan berlaku.

"Impian saya ialah untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan saya telah mengecapinya dengan salah satu kelab terbesar, jadi mungkin sudah sampai masanya untuk saya mencari cabaran baru," katanya.

Chelsea mendahului 2-0 hasil jaringan Olivier Giroud dan Pedro sebelum Hazard menyudahkan sepakan penalti untuk memastikan julangan piala pertamanya di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Dia kemudian menjaringkan satu lagi gol selepas Alex Iwobi merapatkan jurang untuk memastikan Chelsea kekal mendahului sehingga tamat perlawanan.

"Ia amat baik. Saya berasakan kedua-dua pasukan beraksi dengan sedikit tekanan dalam babak pertama kerana ia aksi final.

"Namun, selepas Olivier menjaringkan gol, ia merupakan permulaan kepada malam yang gemilang.

"Kami beraksi dengan baik dan mengawal permainan dan saya gembira untuk mendapatkan trofi ini bersama pemain-pemain lain.

"Pengurus mengarahkan kami agar terus bermain bola sepak semasa waktu rehat dan hari ini, kami telah membuktikan mentaliti kami," tambahnya.

Bercakap kepada beIN Sports selepas itu, Hazard meluahkan sentimen yang hampir serupa.

"Saya mahu memenanginya, bukan hanya untuk diri saya tetapi buat kesemua keluarga Chelsea.

"Saya berasakan kami telah melakukannya bersama-sama. Malam ini bukanlah tentang saya sahaja.

"Ia tentang kesemua 25 atau 26 pemain.

"Jangan dilupakan pemain yang tercedera juga.

"Kami telah melakukan sesuatu yang hebat musim ini

"Apabila pengurus baru masuk, ia bukanlah mudah.

"Kami menerimanya dan penamat ini amat sempurna."

Hazard menambah: "Saya rasa, ya (akan meninggalkan pasukan). Saya mahukan cabaran baru seperti yang saya katakan selepas Piala Dunia tahun lalu, namun ia tidak terjadi.

"Sekarang ia terpulang kepada kedua-dua kelab.

"Saya akan lihat. Saya akan menantikannya seperti anda semua juga. Seluruh peminat sedang menantikannya.

"Saya sayangi penyokong Chelsea kerana mereka sebahagian daripada keluarga saya.

"Saya akan sentiasa menyokong Chelsea.

"Jika saya perlu mengucapkan selamat tinggal, terima kasih di atas segala-galanya selama tujuh tahun ini," katanya.