JASIN: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sandaran kepada dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan, untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden PABM Ahmad Janius Abdullah berkata badan induk itu kini sedang mempersiapkan Muhamad Aznil, 29, dan Mohamad Aniq, 21, yang akan bersaing dalam kategori 61 kilogram untuk mengumpul sebanyak mungkin mata sekali gus berada dalam kelompok 10 terbaik.

Beliau berkata kedua-dua atlet itu, bagaimanapun perlu bersaing sesama sendiri untuk mengumpul mata terbaik kerana hanya satu slot ditawarkan bagi setiap negara untuk satu kategori.

"Kedua-dua atlet berkenaan perlu menyertai beberapa kejohanan wajib bagi mengumpul mata terbaik mereka, antaranya Piala Dunia di Phuket, Thailand pada April, Kejohanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada September selain kejohanan kelayakan di Korea Selatan pada Mei ini.

"Bagi mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik Paris 2024, kedua-dua mereka tidak akan beraksi di Sukan SEA Kemboja pada Mei ini kerana kejohanan di Korea Selatan menawarkan mata kelayakan selain tarikh kedua-dua kejohanan itu bertindih," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Kesang Tua di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat anjuran Jabatan Pendidikan negeri bersama Persatuan Angkat Berat dan Bina Badan Amatur Melaka serta Pusat Latihan Angkat Berat Kesang Tua.

Ahmad Janius yang juga Pengerusi Pembangunan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata program pencarian bakat itu kini sedang giat dilaksanakan di Melaka bermula di peringkat sekolah rendah bagi mencari pelapis sukan itu.

Katanya setakat hari ini, sebanyak 30 pelapis muda berusia lapan hingga 14 tahun dikenal pasti untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Angkat Berat Kesang Tua atau Nyalas di sini, bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijangka berlangsung di Johor.

Sementara itu, beliau berkata enam atlet angkat berat Singapura dijangka menjalani latihan selama sebulan di Pusat Latihan Angkat Berat Kesang Tua sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja.

"Meraka dijangka hadir pada 6 Mac depan bagi memulakan latihan dan sebelum ini, Pusat Latihan Angkat Berat Kesang Tua menjadi pilihan atlet dari beberapa negara lain seperti Filipina, Thailand dan India," katanya.

-- BERNAMA