SUKAN
Badminton: Chiharu Shida berpisah dengan gandingannya selepas 10 tahun

Matsuyama-Shida pernah menduduki tempat kedua dunia sepanjang bersama pada 2022 dan berhasil memenangi 12 gelaran sepanjang siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia termasuk Seluruh England 2025. - Foto Astro ARENA
PEMENANG pingat gangsa beregu Sukan Olimpik Paris 2024, Chiharu Shida, sah berpisah dengan gandingannya, Nami Matsuyama, selepas hampir 10 tahun menempa kejayaan bersama.
Kejuaraan Dunia di Perancis bakal menjadi perjuangan terakhir beregu wanita itu Ogos depan.
Shida, 28, merancang untuk kekal dalam gandingan beregu wanita tetapi bersama jaguh beregu campuran terkemuka Jepun, Arisa Igarashi, manakala Matsuyama, 27, sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke beregu campuran.
Menurut sumber, Matsuyama berkongsi bahawa potensinya semakin berkurangan dan dia enggan menjadi penghalang kepada Shida yang mahu terus memburu kejayaan."Saya bekerja sekeras mungkin untuk Sukan Olimpik," kata Matsuyama.
"Saya tidak dapat membayangkan diri saya menjadi lebih kuat, dan saya tidak mahu menghalang pasangan saya menyasarkan misi lebih tinggi."
Mereka akan menyertai pertandingan terakhir mereka di tempat sendiri dalam Terbuka Jepun minggu hadapan, sebelum menumpukan perhatian mereka kepada kejohanan dunia di Paris.
"Saya telah menghabiskan lebih banyak masa dengan Matsuyama berbanding dengan keluarga saya," kata Shida.
"Memandangkan pertandingan terakhir kami di Paris, yang mana kami mempunyai hubungan istimewa, saya mahu memenangi kejuaraan dunia di sana."
Untuk rekod, kedua-dua bintang tersebut pernah menduduki tempat kedua dunia sepanjang bersama pada 2022 dan berhasil memenangi 12 gelaran sepanjang siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) termasuk Seluruh England 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami