BEREGU badminton wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah terpaksa melupakan perjuangan dalam saingan Terbuka Korea 2023 setelah perjalanan mereka tersekat dalam pusingan 16 pada Khamis.

Mereka terpaksa akur tewas dengan kehebatan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan.

Pearly Tan-Thinaah bagaimanapun bukan kalah mudah, sebaliknya mempamerkan semangat melawan ke atas pasangan lawan yang juga merupakan juara Terbuka Malaysia 2023.

Dalam aksi tersebut, Qing Chen-Yi Fan terpaksa menghadapi tiga set permainan terlebih dahulu sebelum dapat menumpaskan Pearly-Thinaah.

Pasangan negara memaksa lawan untuk beraksi sehingga ke set penentuan sebelum tewas 21-17, 17-21 dan 21-19 dalam tempoh permainan lebih satu jam.

Ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut yang dialami Pearly-Thinaah ketika menentang Qing Chen-Yi Fan di pentas antarabangsa sejak tahun 2022.

Turut menerima nasib sama ialah perseorangan wanita, S Kisona yang tewas kepada pemain Jepun, Akane Yamaguchi 20-22 21-14 21-14.

Nasib sama turut menimpa beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang terpaksa akur kalah kepada gandingan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito setelah tewas straight set 21-17, 21-13.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga terpaksa pulang awal setelah kecundang kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taeattanachai setelah kalah 21-9, 21-7. -- Sinar Harian