PUTRAJAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memperhalusi beberapa perkara terlebih dahulu sebelum 'membuka pintu' kepada pemain profesional berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata pihaknya perlu melakukan penelitian rapi, sebelum mengadakan pertemuan bersama jurulatih dan pemain berkenaan berhubung perkara tersebut.

"Bagi kami masa, buat masa ini kami mahu kaji, kami tidak mahu laksanakan sesuatu dan kemudian sedar ada perkara yang tidak betul. Kami mahu pastikan, jika kami lakukannya, kami mahu lakukannya dengan betul dari mula.

"Pada masa ini kami perlu selesaikan pemerhatian kami dahulu sebelum adakan pertemuan (dengan mana-mana jurulatih dan pemain)," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir Siri Antarabangsa Remaja Malaysia 2022n di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini hari ini.

Pada Ogos lepas, BAM memaklumkan bakal membuka pintu bagi pemain persendirian profesional berlatih bersama di ABM, supaya dapat memberi manfaat kepada pemain negara dalam meningkatkan lagi tahap permainan mereka.

Sementara itu, mengenai kempen Siri Antarabangsa Remaja Malaysia 2022, Kenny mengakui bimbang dengan prestasi pemain negara, apabila tiada seorang pun wakil ke final hari ini.

Justeru, beliau menggesa agar Pengarah Pembangunan Remaja Datuk Misbun Sidek mencari jalan dalam mempertingkatkan persembahan anak buahnya, menjelang Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang dijadual berlangsung di Santader, Sepanyol dari 24 hingga 30 Okt ini.

"Perkara ini membuka mata kami semua kerana sebelum ini, kita tidak pernah melihat pemain-pemain dari Jepun, China dan Korea Selatan, tetapi kami masih mempunyai masa sebelum berlangsungnya Kejohanan Remaja Dunia.

"Misbun dan barisan kejurulatihannya perlu melihat perkara ini, dan membuat bedah siasat secepat mungkin bagi membolehkan mereka membuat sebarang tindakan drastik menjelang Kejohanan Remaja Dunia," katanya.

Kenny berkata setakat ini badan induk tersebut bakal melakukan pemilihan pada minggu hadapan untuk mencari 16 pemain remaja terbaik.

Semalam, sandaran utama dalam acara perseorangan lelaki Justin Hoh, yang turun sebagai pilihan pertama kejohanan terpaksa menarik diri di peringkat separuh akhir, selepas mengalami kekejangan badan ketika menentang lawan dari Jepun, Yudai Okimoto.

Kesemua lima kategori dikuasai pemain Jepun serta satu pasangan Thailand dalam acara berpasukan campuran, bagi perlawanan akhir hari ini.

-- BERNAMA