Bekas jurulatih NFDP keluar bukan kosong, tetap boleh bantu perkembangan negara

Scully turut berharap Persatuan Bolasepak Malaysia membuktikan kemampuan dalam mengawal selia NDFP sebaik mungkin demi memastikan kelangsungan program akar umbi bola sepak domestik. - StadiumAstro
BEKAS Unit Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Richard Scully, menganggap situasi keluar-masuk jurulatih dalam mana-mana kelab mahupun persatuan sebagai lumrah dalam karier kejurulatihan profesional.
Jelasnya yang telah berkhidmat bersama NFDP selama sembilan tahun, kesemua jurulatih yang tidak disambung kontrak bersama NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memiliki kualiti dan kredibiliti untuk meneruskan karier di tempat baru.
"Mereka keluar bukan kosong. Mereka dibekalkan ilmu dan ada yang (berpengalaman) selama berbelas tahun.
"Gunalah ilmu yang ada, bantulah masyarakat di luar. Buktikan bahawa awak mempunyai kemampuan sebagai jurulatih tempatan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, hari ini.
Scully turut berharap Persatuan Bolasepak Malaysia membuktikan kemampuan dalam mengawal selia NDFP sebaik mungkin demi memastikan kelangsungan program akar umbi bola sepak domestik.
"Sudah tentu 100 peratus bola sepak mesti dikendalikan badan bola sepak negara.
"Tapi hati kecil saya merayu supaya melaksanakan tugas dengan integriti dan tatakelola yang baik kerana masa ini ribut masa kuat di dalam persatuan, bersihkan rumah dengan baik supaya bola sepak kita tidak terkena tempias.
"Kita tidak mahu cerita bapa borek anak rintik kerana kita masih lagi dalam cerita bola sepak.
"Saya mendoakan yang terbaik untuk semua supaya 2026 menjadi titik kita bergerak ke hadapan.
"2026 adalah genap 100 tahun FAM diwujudkan," katanya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


