SUKAN
Bekas petinju heavyweight Joe Bugner meninggal dunia

Bugner secara konsisten menduduki tempat dalam 10 petinju heavyweight terbaik dunia sepanjang tahun 1970-an. - Foto Facebook / Boxing News and History
Bekas petinju heavyweight, Joe Bugner meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Ringkasan AI
- Bekas peninju heavyweight Joe Bugner meninggal dunia pada usia 75 tahun di Brisbane, Australia.
- Beliau pernah menjuarai gelaran heavyweight British, Komanwel dan Eropah, serta terkenal dengan pertarungan menentang Muhammad Ali dan Joe Frazier.
- Pertarungannya dengan Ali pada 1975 di Kuala Lumpur kekal sebagai satu-satunya perlawanan kejuaraan heavyweight dunia dalam sejarah Malaysia.
Pertarungan dengan Ali itu berlangsung di Kuala Lumpur dan kekal sebagai satu-satunya perlawanan kejuaraan heavyweight dunia yang pernah dianjurkan dalam sejarah negara.
"Dengan kesedihan yang mendalam, bekas juara tinju heavyweight British, Eropah dan Komanwel, serta pencabar kejuaraan dunia, Joe Bugner, telah meninggal dunia di rumah penjagaannya di Brisbane, Australia," kata Lembaga Kawalan Tinju British.
Bugner secara konsisten menduduki tempat dalam 10 petinju heavyweight terbaik dunia sepanjang tahun 1970-an dan dikenali kerana keupayaan teknikal, kekuatan, ketahanan dan kesediaan untuk berdepan dengan yang terbaik.
Sepanjang kerjayanya yang melibatkan 83 pertarungan, beliau juga berkongsi gelanggang dengan peninju kelas berat terkenal lain seperti Earnie Shavers, Henry Cooper, dan Frank Bruno.
Dilahirkan sebagai Jozsef Kreul Bugner di Szoreg, Hungary pada tahun 1950, Bugner dan keluarganya melarikan diri dari negara itu selepas pencerobohan Soviet pada tahun 1956 dan akhirnya menetap di United Kingdom.
Bugner mula bertinju sejak remaja dan memenangi gelaran ABA light heavyweight pada usia 17 tahun.
Sebagai seorang profesional, Bugner memperoleh kemenangan ke atas Henry Cooper di Wembley pada tahun 1971 untuk memenangi kedua-dua gelaran heavyweight British dan Komanwel.
Pertarungannya menentang Ali dan Frazier seterusnya mengukuhkan reputasinya.
Bugner bersara beberapa kali sepanjang kerjayanya. Kali pertama pada tahun 1976, namun beliau membuat beberapa kemunculan semula.
Beliau berpindah ke Australia pada pertengahan tahun 1980-an dan terus menyertai pertandingan peringkat tertinggi, termasuk kekalahan kepada Frank Bruno.
Bugner bersara semula tetapi kembali hampir lapan tahun kemudian untuk merangkul gelaran heavyweight Australia pada tahun 1995.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami