KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2021 pada Kongres UCI 2021 di Leuven, Belgium, pada Jumaat.

Kemenangan Amarjit itu menyaksikannya berjaya mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI untuk penggal 2021-2025 selepas memperoleh 38 undi daripada keseluruhan 43 delegasi termasuk sembilan dari benua Asia.

Pencabarnya Syeikh Khalid al-Khalifa dari Bahrain yang juga Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), hanya mampu meraih lima undi manakala dua calon lain dari benua Asia iaitu Sun Weimin (China) dan Mohsen Solgi (Iran) menarik diri pada saat akhir.

Walaupun sudah menjangka mampu mempertahankan jawatannya, Amarjit mengakui agak terperanjat dengan jumlah undi diterimanya dan menggambarkan undiannya itu sebagai tanda kepercayaan penuh daripada delegasi yang memilihnya.

"Secara jujur saya sangat terperanjat dengan jumlah undi ini namun saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya Presiden UCI David Lappertient dan Naib Presiden Dr Azzam Wagih serta Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab selepas beliau banyak membantu dalam kempen pilihan raya saya," katanya dalam satu kenyataan.

Kejayaan itu bermakna Amarjit, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif ACC, akan berkhidmat selama empat tahun lagi untuk badan tertinggi sukan berbasikal dunia selepas kali pertama memenangi jawatan tersebut di Bergen, Norway pada 2017.

Sehubungan itu, Amarjit menegaskan beliau akan terus membawa agenda sukan berbasikal Asia termasuk kemungkinan membantu Malaysia menganjurkan Kejohanan Trek Piala Dunia sekiranya mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

"Saya akan terus membawa suara benua Asia pada peringkat dunia selain membantu Malaysia menyelesaikan masalah di peringkat dunia termasuk soal Le Tour de Langkawi (LTdL) sekiranya perlu," tambahnya.

Sementara itu, Abu Samah menganggap pencapaian Amarjit sebagai satu pengiktirafan terbesar kepada sukan berbasikal Malaysia dan berharap beliau akan sentiasa membantu semua pihak di Malaysia serta negara lain di Asia yang menghadapi kesulitan untuk berhubung dengan UCI.

-- BERNAMA