BINTANG bola sepak Argentina, Lionel Messi, mengumumkan menarik balik persaraannya di peringkat antarabangsa, pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat Messi kerana cintanya kepada negara, dan mahu terus menjadi penyumbang kepada kejayaan bola sepak negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pengurusannya, kata Messi, biarpun masih kecewa dengan kegagalan Argentina memenangi piala Copa America Jun lalu, namun rasa ingin berbakti kepada tanah airnya jauh lebih kuat.


"Banyak masalah melanda bola sepak Argentina, dan saya tidak mahu menjadi penyumbang kepada masalah itu.

"Saya mahu membantu bola sepak Argentina, bukan sekadar mengkritik dari luar," kata Messi dalam kenyataan itu.

Susulan pengumuman tersebut, nama Messi dimasukkan dalam senarai skuad negara itu yang akan bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, menentang Uruguay dan Venezuela.

Biarpun memiliki pencapaian cemerlang sepanjang karier bola sepaknya, namun rekod Messi bersama Argentina tidak begitu baik.

Satu-satunya kejayaan Messi bersama Argentina adalah pingat emas Sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008.

Messi mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa pada Jun lalu, selepas tewas di tangan Chile pada perlawanan akhir Copa America.