Rakyat Malaysia perlu menerapkan budaya bersukan di setiap peringkat umur bagi membolehkan lebih banyak bakat baharu dikenal pasti.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ibu bapa terutamanya, harus memberikan galakan dan dorongan kepada anak mereka pada usia muda bagi memupuk semangat bersukan.

"Kita ambil contoh negara yang hebat dalam sukan, bila ada kejohanan mereka jadi juara...atlet ini datangnya dari negara yang membudayakan sukan di setiap peringkat.

"Dengan adanya semangat ini, kelompok bakat dapat dikesan dalam lingkungan yang lebih besar. Maka negara tidak akan terlepas bakat berpotensi," katanya pada majlis penutup Sukan Media-MSN (Majlis Sukan Negara) kali ke-lapan di sini, hari ini.

Sukan Media-MSN mempertandingkan tiga acara iaitu bola sepak lima sebelah, badminton dan tenpin boling yang diadakan selama tiga hari iaitu pada 23 Feb, semalam dan hari ini.

Khairy turut menasihatkan ibu bapa agar tidak beranggapan bersukan sebagai aktiviti yang membuang masa, sebaliknya kegiatan yang menyihatkan.

Menurutnya, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan sukan yang boleh menyatukan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa mahupun warna kulit.