PAKAR Brazilian Jiu Jitsu (BJJ), Charles Oliveira dari Brazil akan bertarung dengan penggusti Armenia-Rusia, Arman Tsarukyan di UFC 300 pada 13 April ini.

Presiden UFC, Dana White berkata, pemenang pertarungan itu akan muncul sebagai pencabar nombor satu kejuaraan tali pinggang Lightweight yang kini disandang jaguh Dagestan, Islam Makhachev.

UFC 300 berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas menampilkan pertarungan Light Heavyweight antara Jiri Prochazka dan Aleksandar Rakic sebagai acara utama.

Islam dengan rekod pertarungan 25-1 ketika ini sedang menjalani proses penyembuhan dan hanya kembali ke gelanggang pada musim panas atau selepas berakhirnya Ramadan.

Oliviera (34-9) yang berada di ranking teratas Lightweight sepatutnya bertarung dengan Islam di UFC 294 pada Oktober lalu, tetapi kecederaan memaksa atlet seni bela diri campuran (MMA) dari Sao Paulo itu menarik diri pada saat akhir.

Dikenali dengan nama Do Bronx, Oliviera pertama kali bertarung dengan Islam pada UFC 280 bagi merebut gelaran juara Lightweight yang dikosongkan selepas pengunduran Khabib Nurmagomedov.

Pertarungan di Abu Dhabi itu menyaksikan Oliviera tewas menerusi gerakan submission di pusingan kedua.

Jun lalu, Oliviera merekodkan kemenangan TKO ke atas Beneil Dariush sekali gus meletakkan namanya dalam senarai pertarungan ulangan dengan Islam yang juga sahabat baik Khabib.

Bagi Tsarukyan yang mempunyai rekod 21-3 pula, kemenangan ke atas Oliviera membolehkannya menebus semula kekalahan di tangan Islam pada 2019.

Sejak kekalahan itu, Tsarukyan yang berada di ranking keempat Lightweight memenangi lapan daripada sembilan pertarungan termasuk menumpaskan Dariush, Joaquim Silva dan Joel Alvarez. - Sinar Harian