Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe mengakui agak sukar untuk membuat pilihan senarai akhir 23 pemain yang akan dipilih beraksi pada Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 pada bulan depan.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata, kesemua 26 pemain yang dipilih untuk menjalani sesi latihan pusat ketika ini, mempamerkan prestasi terbaik dari segi fizikal dan taktikal.

"Itu satu petanda positif tetapi itu yang menyebabkan agak sukar saya untuk memilih kesebelasan terbaik.

"Saya rasa apa yang membimbangkan adalah untuk mendapatkan keserasian dan kombinasi yang terbaik kerana ada sesetengah pemain yang tidak selalu bersama pasukan kebangsaan, " jelas Cheng Hoe ketika ditemui Bernama selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di padang Universiti Sains Islam Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memaklumkan senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Piala AFF Suzuki akan diumumkan selepas akhir persahabatan terakhir menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe menyasarkan kutipan tiga mata pada dua aksi awal kumpulan A Piala AFF Suzuki menentang Kemboja dan Laos.

Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF Suzuki menentang Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja pada 8 Nov, sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang empat hari kemudian.

Skuad negara akan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 16 November sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Nov.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan skuad negara layak ke final Piala AFF Suzuki.

-- BERNAMA