KUALA LUMPUR: Pasukan Gergasi Merah akan memulakan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024 dengan ketua jurulatih baharu selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan itu untuk membimbing sebuah kelab bola sepak di Thailand.

Selangor FC dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah mencapai persetujuan bersama Cheng Hoe untuk menamatkan kontrak beliau berkuat kuasa secara serta-merta.

“Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau. Selangor FC berterima kasih kepada Tan Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan,” katanya.

Justeru, Selangor FC memaklumkan tempat Cheng Hoe bakal diisi oleh Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih sementara manakala pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu.

Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Selangor FC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023, sekali gus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025. 



-- BERNAMA