SUKAN
Darwin Nunez tinggalkan Liverpool, sertai Al-Hilal dengan kontrak tiga tahun

Nunez menyertai Liverpool pada Jun 2022 dari Benfica dengan yuran awal 75 juta euro, namun bergelut untuk mengekalkan prestasi konsisten, dengan rekod 40 gol dan 26 bantuan jaringan dalam 143 penampilan di semua pertandingan.
LIVERPOOL: Penyerang Uruguay, Darwin Nunez, meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal, dengan kontrak tiga tahun, umum kedua-dua kelab pada Sabtu.
Nilai perpindahan tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan Al-Hilal membayar sekitar 53 juta euro ditambah bayaran tambahan yang boleh mencecah keseluruhan 56.6 juta pound bagi mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.
"Al-Hilal Club Company dengan sukacitanya mengumumkan penandatanganan penyerang Uruguay, Darwin Nunez, dari Liverpool FC dengan kontrak selama tiga tahun," kata kelab tersebut di laman web rasmi mereka.
"Nunez baru sahaja menyertai skuad dalam kem latihan pramusim di Jerman," tambah Al-Hilal.Nunez menyertai Liverpool pada Jun 2022 dari Benfica dengan yuran awal 75 juta euro, namun bergelut untuk mengekalkan prestasi konsisten, dengan rekod 40 gol dan 26 bantuan jaringan dalam 143 penampilan di semua pertandingan.
Musim lalu, ketika Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris, Nunez lebih banyak berada di bangku simpanan, hanya memulakan lapan perlawanan liga dan menjaringkan lima gol.
Pemergian Nunez membantu Liverpool membiayai perbelanjaan besar hampir 300 juta pound untuk musim 2025-26. Setakat ini, mereka sudah mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, dengan yuran rekod kelab sehingga 116 juta pound dan penyerang Perancis, Hugo Ekitike, dengan nilai 69 juta pound ditambah klausa tambahan.
Di bawah kendalian bekas pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi, Al-Hilal mencipta sejarah sebagai kelab Asia pertama menewaskan pasukan Liga Perdana Inggeris dalam perlawanan rasmi apabila menundukkan Manchester City di Piala Dunia Kelab bulan lalu.
Pasukan baharu Inzaghi kini menyasarkan kejuaraan liga ke-20 musim ini, selepas menamatkan saingan di tempat kedua Liga Pro Saudi musim lalu. Mereka juga sudah membawa masuk pertahanan kiri AC Milan, Theo Hernandez, sebagai satu lagi pembelian berprofil tinggi pada jendela perpindahan kali ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami