SUKAN
Drama penalti di Wembley: Palace cipta kejutan, juara Community Shield 2025

Pemain Crystal Palace meraikan kejayaan selepas memenangi perlawanan akhir FA Community Shield antara Liverpool dan Crystal Palace di Stadium Wembley, London, 10 Ogos 2025. (Foto AP)
CRYSTAL Palace mencipta sejarah baharu kelab apabila menewaskan juara Liga Perdana, Liverpool, menerusi penentuan penalti 3–2 untuk meraih trofi Community Shield pertama dalam sejarah mereka.
Perlawanan pada Ahad di Stadium Wembley itu berakhir 2–2 selepas 90 minit permainan.
Liverpool memulakan perlawanan dengan rentak agresif dan hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan.
Penyerang baharu mereka, Hugo Ekitike, yang membuat penampilan sulung kompetitif, melepaskan rembatan leret tepat ke penjuru gawang selepas menerima hantaran Cody Gakpo.Gol tersebut menyuntik semangat awal buat The Reds, yang tampil dengan corak menyerang pantas dan penguasaan bola tinggi.
Namun, Palace tidak mengambil masa lama untuk bangkit. Pada minit ke-17, Ismaïla Sarr dijatuhkan oleh Virgil van Dijk dalam kotak penalti, memaksa pengadil menunjuk ke titik putih. Jean-Philippe Mateta dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 1–1, sekali gus menghidupkan kembali sorakan penyokong The Eagles di Wembley.
Liverpool pantas kembali di depan pada minit ke-21 menerusi jaringan Jeremie Frimpong, yang menghantar bola lintang terus ke gawang selepas terkena tiang.
Gol itu diraikan bersama penghormatan peminat kepada mendiang Diogo Jota.
Namun, Palace enggan mengalah. Ismaïla Sarr muncul penyelamat pada minit ke-77, menyudahkan gerakan serangan balas pantas untuk menyamakan kedudukan 2–2, sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Dalam penentuan, Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang. Penjaga gol Dean Henderson muncul wira dengan menyelamatkan dua sepakan penting daripada Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott. Pemain gantian Justin Devenny kemudian memastikan kemenangan Palace apabila tenang menyempurnakan sepakan terakhir.
Kejayaan ini melengkapkan tahun gemilang buat pasukan kendalian Oliver Glasner, selepas menjulang Piala FA pada Mei lalu, dan mengukuhkan reputasi mereka sebagai pencabar baharu yang perlu diberi perhatian dalam kancah bola sepak Inggeris.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami